PUTRAJAYA, 14 Nov – YB Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, telah menyampaikan Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 kepada Prof. Madya Dr. Abd Rahman Tamuri daripada Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (PKAUTM) sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar beliau dalam pembangunan kesatuan sekerja di Malaysia. Majlis ini diadakan sempena Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sebelum ini, tokoh kesatuan seperti Tan Sri Zainal Rampak, Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dan Dato’ Haji Omar Osman, Mantan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), masing-masing menerima anugerah ini pada tahun 2022 dan 2023.
Selain Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja, lima kategori anugerah khas turut disampaikan, termasuk Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia yang diterima oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, Presiden Uni Malaysia Labour Centre (UNI-MLC). Penerima Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh Sektor Awam adalah Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), manakala bagi Sektor Swasta ialah Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Terengganu, dan bagi Sektor Badan Berkanun pula ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd.
Majlis ini juga menjadi platform kepada kesatuan sekerja untuk berkongsi pandangan dan idea melalui sesi diskusi, selain memperkukuh konsep Malaysia MADANI dalam mempromosikan hak pekerja. Anugerah yang disampaikan turut diharapkan dapat memperkasakan lagi kesatuan sekerja di Malaysia secara umumnya dan menjadi titik lonjak kepada semua persatuan akademik di seluruh negara untuk terus maju memperjuangkan kepentingan warga akademik di universiti masing-masing.
Prof. Madya Dr. Abd Rahman Tamuri, anak kelahiran Muar, telah menyertai PKAUTM sejak 2008 dan kini memegang jawatan sebagai Presiden sejak 2021, selepas berkhidmat sebagai Setiausaha PKAUTM sejak 2009. Di bawah kepimpinan beliau, PKAUTM telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti, termasuk sambutan Hari Akademia, serta dianugerahkan hampir RM250,000 geran penyelidikan dan penerbitan buku-buku kesatuan sekerja. Beliau juga aktif memberi sesi taklimat dan seminar motivasi kepada kesatuan sekerja di seluruh negara, selain kepada kesatuan dan persatuan pelajar di universiti.
Sumbangan beliau melalui Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) turut menyerlah, menjadikannya tokoh penting dalam memperjuang dan memperkasa warga akademik di peringkat kebangsaan. Anugerah ini diharap akan terus menjadi inspirasi kepada PKAUTM dan kesatuan sekerja lain untuk mengekalkan momentum perjuangan dan terus aktif dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja diutamakan.