November 30, 2024

Search
Close this search box.

Jelajah Siswa Perak Zon Selatan penggerak generasi muda berkualiti tinggi

JOHOR BAHRU, 4 Nov – Program Jelajah Siswa Perak bersama YB Khairudin Abu Hanipah, anjuran Gerakan Mahasiswa Perak (GMPk) dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Anak Perak (SEMARAK), sekali lagi berlangsung dengan cemerlang. Acara ini menampilkan panel jemputan berwibawa daripada Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP), GPMk, Yayasan Perak, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Unit Pinjaman Pengajian Tinggi dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK). Sesi kemuncak adalah dialog mahasiswa bersama YB Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri Perak.

Program ini berjaya mengumpulkan seramai 200 mahasiswa Perak di Zon Selatan yang terdiri daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPG KPT), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, UiTM Pasir Gudang, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia  (UTHM) cawangan Parit Raja dan Pagoh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Politeknik Mersing. Program ni turut tampil memberikan pandangan dan idea segar demi pembangunan belia negeri. Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk membudayakan pemikiran intelektual yang matang, kritis, dan inovatif dalam kalangan mahasiswa. Program ini memfokuskan dalam memberi pencerahan mengenai pelbagai isu yang dihadapi oleh mahasiswa Perak.

Turut hadir memberi sokongan adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof.Edy Tonnizam Mohamad; Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib; serta Pengerusi GMPk, Dr. Ahmad Zaid Ismail. Kehadiran wakil-wakil jabatan negeri dan persekutuan serta rakan strategik dari agensi kerajaan turut menambah prestij acara ini. Penasihat SEMARAK UTM, Ts. Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip juga hadir bersama Presiden SEMARAK UTM, Mohamad Salman Mohamad Sabri.

Dif-dif kehormat berserta semua peserta yang hadir ke Jelajah Siswa Perak Zon Selatan 

Menurut YB Khairudin Abu Hanipah “Slogan Perak Sejahtera ialah usaha murni kerajaan negeri untuk menggiatkan pembangunan bagi memastikan graduan-graduan boleh mencari rezeki di negeri Perak sendiri tanpa perlu merantau ke tempat orang.” Sesi dialog bersama YB Khairudin Abu Hanipah membincangkan aspirasi Perak dalam pendidikan, pengajian tinggi, belia dan sukan. Soalan-soalan yang diajukan merangkumi cabaran semasa dan strategi pembangunan untuk masa hadapan demi Perak Sejahtera 2030 – Perak Makmur, Rakyat Sejahtera. Program ini bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi menjadi medan penting dalam mencetuskan dialog terbuka antara mahasiswa dan kepimpinan negeri, memperkukuh usaha ke arah kemajuan Perak yang lebih dinamik dan sejahtera.

Khairudin Abu Hanipah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan ketika sesi dialog

Kerajaan negeri yang turun padang untuk bertemu dengan anak-anak negeri di universiti-universiti seluruh Malaysia memberikan pelbagai manfaat penting, baik kepada pelajar, universiti, mahupun kerajaan itu sendiri. Program ini memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan rakyat negeri Perak, membolehkan kerajaan negeri berinteraksi secara langsung dengan pelajar, mendengar pandangan, keperluan, dan masalah yang mereka hadapi. Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited terhadap kebajikan anak negeri yang sedang menuntut ilmu dan memberikan perhatian yang sewajarnya kepada mereka.

Melalui program ini, kerajaan negeri juga dapat menyalurkan bantuan dan sokongan pendidikan dengan lebih tepat. Bantuan kewangan, biasiswa, dan subsidi yang diberikan dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah. Selain itu, program ini memberi peluang kepada kerajaan untuk mengenalpasti pelajar yang berpotensi tinggi dalam bidang akademik serta menyediakan peluang latihan industri atau pekerjaan melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka.

Seterusnya, kehadiran pemimpin kerajaan negeri di universiti dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan. Pelajar juga berpeluang mengenali lebih dekat peranan kerajaan negeri dalam memajukan masyarakat dan ekonomi negeri, seterusnya memupuk semangat cintakan negeri dan meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab mereka untuk menyumbang kembali kepada pembangunan negeri selepas tamat pengajian. Hubungan yang terjalin ini juga membuka peluang untuk membina jaringan alumni kukuh yang kelak boleh menyumbang semula kepada komuniti.

Akhir sekali, maklumat yang diperoleh daripada pelajar secara langsung dapat membantu kerajaan negeri dalam menambah baik dasar dan program untuk belia, terutamanya yang berkaitan dengan pendidikan, pekerjaan, dan pembangunan modal insan. Dengan usaha turun padang ini, kerajaan negeri bukan sahaja dapat memastikan pelajar menerima sokongan yang sewajarnya tetapi juga dapat merangka dasar dan inisiatif yang lebih tepat untuk membangunkan generasi muda berkualiti tinggi bagi kemajuan negeri.

Norhashikin, Timbalan Presiden SEMARAK membentangkan beberapa usul kepada YB Khairudin ketika lawatan ke reruai SEMARAK
Sesi ikrar sebagai simbolik watikah perlantikan kabinet SEMARAK UTM sesi 24/25 diketuai oleh Salman

Explore More