November 24, 2024

Search
Close this search box.

16 mahasiswa UTM sertai IJM Recruitment Challenge 2017

JOHOR BAHRU, 15 Mei 2017 – Seramai 16 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Fakulti Kejuruteraan Awam, FAkulti Alam Bina dan Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah telah menyertai program ‘IJM Recruitment Challenge’.

Program tersebut anjuran syarikat hartanah terkemuka, IJM Corporation Berhad dan syarikat pengurusan bakat, Thriving Talents Sdn. Bhd disertai oleh UTM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaya (UM) dan Kolej INTI dari Nilai, Negeri Sembilan.

Penyelaras Program, Prof. Dr. Edy Tonnizam Muhammad berkata, program itu merupakan pembentangan hasil kerja pelajar berkenaan dengan pengetahuan yang diperolehi sepanjang pengajian mereka di universiti yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Training Kick Off, Validation Day dan juga Conference.

“Bagi sesi Training Kick Off yang bermula pada 8 dan 9 April lalu, peserta diperkenalkan dengan cabaran kes,  diberikan sesi pembentangan mengenai kemahiran pekerjaan oleh Thriving Talents dan kemahiran teknikal oleh wakil IJM,” katanya.

Beliau berkata, untuk sesi kali ini, semua peserta telah dibawa melawat ke sekitar projek Bandar Rimbayu di Telok Panglima Garang, Selangor.

Sesi ‘Validation Day’ berlangsung pada 15 Mei di mana wakil dari IJM datang untuk berjumpa dengan peserta di kampus masing-masing bagi mendengar persembahan yang dibuat oleh peserta di Dewan Konvensyen, Blok B12, Fakulti Alam Bina (FAB).

“Pada sesi ini, mahasiswa dikehendaki untuk memilih konsep dan topik yang ingin dibentangkan mengikut kajian kes yang diberikan.

“Peserta dikehendaki untuk mengesahkan ‘draf rancangan’ mereka dengan rakan-rakan pelajar yang lain serta membuat pindaan yang perlu sebelum sesi ‘Conference’ pada 8 atau 15 Julai 2017 ini,” katanya.

Sesi ‘Conference’ itu adalah peringkat akhir di mana semua peserta dari lima IPT yang bertanding dikehendaki untuk membuat persembahan masing-masing secara terbuka di premis yang akan ditentukan oleh pihak IJM.

“Dalam sesi ini, kesemua peserta akan dinilai persembahan mereka oleh panel hakim sebelum diumumkan sebagai pemenang,” katanya.

Explore More