Mei 1, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Jan. – Program Rail Tech Expo (RTE) 2024 yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan penuh jayanya, membawa bersama pakar industri, pelajar, dan penyelidik untuk berkongsi pengetahuan serta menggali peluang inovasi dalam bidang kejuruteraan rel.

Acara yang berlangsung pada 17 Januari 2024 itu, telah mencapai matlamatnya untuk menjadi platform penyatuan di antara pihak akademia UTM dan industri dalam perihal teknologi rel. Penganjuran program ini menunjukkan usaha FKA dalam memberikan impak positif terhadap industri kejuruteraan terutamanya kejuruteraan rel. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan dengan kerjasama daripada Pavement and Transport Research Group (PTRG) UTM.

Upacara perasmian RTE 2024 daripada Dekan FKA

 

Pada majlis pembukaan, Prof. Madya Dr. Suhaimi Abu Bakar@Mohd Ramli, Dekan FKA, menyatakan, “Melalui Rail Tech Expo 2024 , para pelajar dan pensyarah serta industri dapat menimba pelbagai ilmu dan pengalaman baharu terutamanya mengenai teknologi-teknologi rel yang terkini. Selain itu, melalui program ini juga ia dapat menjadi satu platform untuk kita bersama sama meraih manfaat daripada interaksi yang berlaku.”

Ir. Zulkifli Mohamed, Pengurus Projek RTS Link, dari MRT Corp. memberikan pendedahan akan industri rel kini dan masa hadapan.

Program ini telah menampilkan pelbagai paparan dan sesi berbincang oleh pakar industri terkemuka yang membincangkan perkembangan terkini dalam teknologi rel. Sesi perkongsian daripada industri telah dijayakan oleh Ir. Zulkifli Mohamed, Pengarah Projek RTS Link dari MRT Corp.; Tuan Yusoff Mamat dari Permanent Way Institution (Malaysia) dan Dr. Yon Kong Chen, Pengarah VRG Dinamik Sdn. Bhd.

Dr. Yon Kong Chen, Pengarah VRG Dinamik Sdn. Bhd. membuat perkongsian berkenaan “Structure Health Monitoring in Railway Industry”

Selain itu, pameran inovasi teknologi rel juga telah diadakan untuk mempamerkan idea dan prototaip yang dikembangkan oleh para pelajar kursus Kejuruteraan Kereta Api, FKA. Inisiatif ini bertujuan untuk memberi platform kepada bakat-bakat muda untuk berkongsi idea dan memaparkan inovasi mereka kepada industri. Pameran ini juga diadili oleh juri jemputan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan UiTM Pasir Gudang, serta dari City University Malaysia, Selangor. Juri jemputan UTM dari Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan FKA, Fakulti Pengurusan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) juga turut dijemput bagi mengadili peserta yang mengambil bahagian.

Pensyarah daripada UiTM Shah Alam, UTHM dan juga City University Malaysia sedang menjurikan pada pelajar.

 

Para juri sedang membuat penilaian terhadap hasil idea dan prototaip pelajar.

 

Cik Adrienne (kiri), pensyarah dari UiTM Pasir Gudang turut hadir bagi menilai idea dan prototaip pelajar.

 

Dr. Zulfabli daripada Fakulti Pengurusan (tengah) juga menjadi juri pada RTE kali ini.

Salah seorang peserta, Danish Foo Lai Kuan, pelajar tahun keempat jurusan Kejuruteraan Awam, berkata, “Saya sangat berpuas hati dengan program ini kerana saya dapat bertemu dengan pakar-pakar industri yang memberikan pandangan mendalam mengenai cabaran dan peluang dalam bidang kejuruteraan rel. Ini memberi saya inspirasi untuk terus mengejar kecemerlangan dalam bidang ini.”

Para peserta dilihat fokus dengan sesi perkongsian daripada industri.

 

Juara bagi pameran inovasi teknologi rel pada RTE 2024 kali ini.

Penasihat Program Rail Tech Expo 2024, Ts. Dr. Mohd Khairul Afzan Mohd Lazi juga berharap bahawa program seperti RTE 2024 akan terus diadakan pada masa hadapan untuk terus mengembangkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri, serta memupuk minat pelajar dalam bidang kejuruteraan rel. Rail Tech Expo 2024 bukan hanya sekadar satu acara, tetapi merupakan inisiatif fakulti untuk mendorong kolaborasi antara pelajar, pensyarah, dan pakar industri. Dengan kejayaan program sulung ini, FKA UTM menetapkan piawai yang tinggi bagi acara-acara mendatang yang akan dijalankan dalam usaha meningkatkan bidang kejuruteraan dan teknologi rel di negara ini.

 

 

Explore More