Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

UTMKL perintis inisiatif ‘Digital Garden’, sokong agenda kelestarian bandar

KUALA LUMPUR, 11 Jul. – Jabatan UTM Digital (UTMD) telah merintis inisiatif ‘Digital Garden’ di Kebun Bandar Sungai Bunus sebagai menyokong aktiviti kelestarian di kebun komuniti tersebut sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat sekitar UTM Kuala Lumpur.

Program murni ini disokong oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) Kuala Lumpur selaku sekretariat Kebun Bandar Sungai Bunus dengan menyediakan beberapa lot tanah untuk digunakan oleh UTM dalam menjayakan program ini.

Pada 21 Jun 2023, Timbalan Pengarah UTMD Kuala Lumpur, Abd Haris Ismail telah merasmikan ‘Digital Garden’ sebagai simbolik permulaan kepada kelangsungan program ini.

Timbalan Pengarah UTMD Kuala Kumpur,  Abd Haris Ismail merasmikan Digital Garden pada 21 Jun 2023

Dalam ‘Digital Garden’ ini, UTMD telah mengaplikasi teknologi seperti pewujudan pangkalan data tanaman dan penjanaan  kod QR bagi setiap tanaman. Pengaplikasian teknologi adalah bertujuan bagi memudahkan pengunjung kebun untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai tanaman.

Maklumat terperinci mengenai tanaman adalah termasuk nama saintifik, spesis, cara penjagaan, teknik pembajaan dan sebagainya.

Setakat ini sebanyak 4 siri program ‘Digital Garden’ di Kebun Bandar Sungai Bunus yang telah dijalankan oleh UTMD pada tahun ini. Program ini merangkumi pembersihan lot tanah, pemasangan alat titisan air bagi tujuan kelembapan tanah, penyiraman dan pembajaan tanaman. Jenis tanaman yang ditanam adalah sayur dan herba seperti serai, kunyit, sawi jepun, pudina, keledek, dan pokok kari.

Semua tanaman telah dilabel dengan nama dan kod QR bagi pengunjung kebun mendapatkan akses kepada maklumat tanaman yang lebih terperinci. UTMD  komited dalam meneruskan aktiviti di Kebun Bandar Sg Bunus dan telah merancang beberapa lagi aktiviti kelestarian di kebun pada tahun ini.

Setiap pokok dilabel dengan kod QR bagi akses kepada pangkalan data tanaman
Aktiviti penanaman oleh staf UTMD

Hasil aktiviti di kebun bandar yang telah dilaksanakan oleg UTMD telah memberi impak kepada UTM sebagai institusi yang mementingkan kelestarian alam sekitar dan pada masa yang sama mengekalkan kecemerlangan dengan berkongsi ilmu dan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Semoga aktiviti sebegini dapat dikekalkan dan dijadikan contoh oleh jabatan lain di UTM dalam memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar.

 

 

 

 

 

Explore More