Oktober 7, 2024

Search
Close this search box.

UTM lancar Pusat Kecemerlangan Satelit AKSADRON, metrai MoU dengan Futurise Sdn Bhd

JOHOR BAHRU, 6 Jun − Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan Pusat Kecemerlangan Satelit Akademik Sukan Dron Negara (AKSADRON) sebagai sebahagian dari usaha memajukan sukan unik ini di Malaysia.

Universiti itu juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Futurise Sdn. Bhd. bagi kerjasama melibatkan program-program sukan dron di negara ini.

Majlis pemeteraian kerjasama ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd, Rosihan Zain Baharudin.

Prof. Fauzi dalam ucapannya berkata MoU ini menandakan permulaan bagi kerjasama strategik rasmi antara Pusat Kecemerlangan Satelit AKSADRON-UTM dengan Futurise Sdn. Bhd dalam bidang penyelidikan dan pengkomersialan aktiviti dron.

“Di samping itu juga, kerjasama ini dapat memupuk dan mencipta laluan kerjaya bagi bakat muda yang berhasrat untuk menjadi juruterbang dron selain merintis pertukaran pengetahuan antara pakar serta capaian kepada kemudahan penyelidikan.

“AKSADRON-UTM dan Futurise telah mengorak langkah ke hadapan dengan pemeteraian memorandum ini dan ia akan menjadi peristiwa penting bagi kedua-dua pihak. Sinergi ini adalah selaras dengan inisiatif pendidikan translasional yang telah menjadi agenda penting Pelan EnVision 2025 bagi melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan, menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan terfokus dalam bidang strategik, mencapai keunggulan global sebagai Universiti Penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi serta memanfaatkan teknologi tinggi dan menggunakan pendekatan quadruple helix,” tambah beliau.

Futurise Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang berfokuskan kepada inisiatif inovasi, peraturan dan komersialisasi dron di Malaysia. Syarikat ini juga merupakan peneraju inisiatif bagi inovasi masa depan negara yang melibatkan sinergi antara pemain industri, institusi pendidikan tinggi dan usahawan tekno tanah air.

Pasukan Pusat Kecemerlangan Satelit ini diketuai oleh Timbalan Pengarah, Sports Innovation & Technology Centre (SITC) UTM, Ts. Dr. Jaysuman Pusppanathan.

Timbalan Pengarah, Sports Innovation & Technology Centre (SITC) UTM, Ts. Dr. Jaysuman Pusppanathan menerangkan mengenai simulasi Dron kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd, Rosihan Zain Baharudin sewaktu pelancaran Pusat AKSADRON UTM.
Dr Jaysuman melakukan simulasi permainan Dron di pelancaran AKSADRON UTM.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Sdn. Bhd, Rosihan Zain Baharudin diberikan taklimat ringkas mengenai AKSADRON UTM.

 

Explore More