April 20, 2024

Search
Close this search box.

FABU, SMAP Labu jalin kerjasama tarik minat pelajar ceburi bidang alam bina dan ukur

Oleh : Dr. Mohd Alif Mohd Puzi & Ts. Sr Dr. Muhammad Imzan Hassan

LABU, 6 April – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertempat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan.

Program ini melibatkan delegasi Geoinformasi, Senibina dan Perancangan Bandar dan Wilayah FABU seramai 14 orang staf dan 10 orang mahasiswa.

Delegasi yang diketuai oleh Ts. Sr Dr. Muhammmad Imzan Hassan ini telah berkongsi kepakaran dan ilmu pengetahuan kepada pelajar sekolah terutama pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM).

Program ini juga secara tidak langsung menjadi platform buat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menarik minat pelajar SMAP Labu yang akan bergraduasi untuk menceburi bidang STEM terutama dalam kursus alam bina dan ukur.

Sesi ucapan dan motivasi dari Yang Berbahagia, Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Bte Ali

Pelajar tingkatan empat, lima dan enam adalah sasaran peserta program ini. Program ini dimulakan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Bte Ali yang juga merupakan alumni SMAP Labu.

Terdapat lima aktiviti yang disediakan mengikut program dalam FABU yang disertai oleh pelajar.

Program Geoinformasi telah melakukan penentuan arah kiblat bagi surau sekolah, pameran alat ukar dan syarahan penentuan Hilal Takwim Hijrah.

Pelajar dapat mengetahui cara penentuan arah kiblat dengan menggunakan alat pengukuran yang mempunyai kejituan tinggi.

Sesi perkongsian ilmu melalui syarahan penentuan Hilal Takwim Hijrah mendedahkan pelajar dengan cara penentuan anak bulan bagi Bulan Ramadhan dan Syawal.

Pameran alat jurukur juga melibatkan pelajar dan diketuai oleh Sr Dr. Mohammad Hanif Hamden.

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia menerangkan alat ukur kepada pelajar sekolah
Sesi perkongsian ilmu penentuan Hilal Takwim Hijrah oleh Sr Dr. Othman bin Zainon dan Dr. Aimi binti Musa

Program Senibina pula telah menyediakan Bengkel Hiasan Dalaman Kelas dan Pameran Senibina. Program senibina berkongsi ilmu perhiasan dalaman dan diterapkan dalam kelas bagi pelajar sekolah.

Selain itu, hasil kerja mahasiswa turut dipamerkan bagi menarik minat pelajar sekolah ke arah program yang ditawar di FABU dengan seni kreatif yang dihasilkan.

Sesi taklimat perkongsian ilmu hiasan dalaman yang disampaikan oleh Dr. Azari Mat Yasir
Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia membimbing pelajar sekolah berkenaan cara hiasan dalaman untuk kegunaan kelas

Manakala Program Perancangan Bandar dan Wilayah telah menyediakan aktiviti perkongsian ilmu melalui aktiviti interaktif iaitu permainan simulasi perekaan bandar dengan menggunakan Lego.

Permainan Lego ini mendedahkan pelajar dengan ilmu perancangan bandar dan wilayah dengan menghubungkan pengalaman pelajar dan pembangunan bandar di sekeliling mereka.

Dr. Mohd Alif Mohd Puzi dan Dr. Fadhli bin Rashid berkongsi ilmu perancangan bandar berdasarkan bandar yang dihasilkan oleh pelajar
Pelajar sekolah berbincang untuk mereka bandar berdasarkan Lego

CSR ini diteruskan dengan berbuka puasa bersama pelajar dan pengurusan SMAP Labu. Dekan FABU berbesar hati untuk memberikan pelan sekolah yang dihasilkan oleh Sr Dr. Khairulnizam M. Idris dan Ts. Sr Dr. Muhammad Imzan Hassan.

Sesi pemberian pelan sekolah sebagai cenderahati kepada pihak sekolah

Program ini juga melibatkan staf sokongan yang sama-sama terlibat dengan pungutan data melalui teknologi pemetaan dron oleh Mohd Faizi Mohd Salleh (Juruterbang Dron), Anuar Aspuri, Azis Ahmad dan Mohd Sharul Baharom.

Pungutan data bagi tujuan pemetaan dron yang dilakukan pada 30 Mac 2023

Explore More