April 19, 2024

Search
Close this search box.

Kolaborasi strategik UTM, MAIWP dan PIKU tingkat martabat pendidikan Al-Quran

KUALA LUMPUR, 9 Feb. – UTM menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (Pejabat TNCPI) dan Unit Endowmen telah menyumbang wang tunai hasil kutipan sumbangan staf UTM dan orang ramai kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) bagi tujuan Program Infaq Al-Quran.

Program ini adalah hasil inisiatif UTM dengan kerjasama NGO Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) yang bertujuan menyumbang naskhah Al-Quran pendidikan kepada pelajar sekolah dalam memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang pelajar dari lebih 50 buah sekolah di Kuala Lumpur.

Majlis Perasmian Penutupan KL Gema Al-Quran Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP merangkap Ahli MAIWP, Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir telah menyaksikan pemurnian Program Infaq Al-Quran yang dilaksanakan oleh UTM.

Dalam majlis tersebut, Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir bagi pihak MAIWP telah menerima replika cek berjumlah RM 18,727.50 dari pihak UTM diwakili oleh Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof Madya Dr. Yusof bin Boon dan Pengarah Pentadbiran Pejabat TNCPI, Prof Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim.

 

Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir menerima replika cek dari Prof Madya Dr. Yusof bin Boon dan Prof Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim
Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir menyerahkan sijil penghargaan kerjasama kepada Prof Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Sheikh Salim
Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir menyerahkan sijil penghargaan kerjasama kepada Prof Madya Dr. Yusof bin Boon

Program Infaq Al-Quran adalah inisiatif bersama antara Pejabat TNCPI dan Unit Endowmen UTM dengan Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah bermula tahun 2022. UTM memainkan peranan dengan menyediakan platform pembayaran endowmen termasuklah sistem fundraising khas yang telah dibuka di laman sesawang UTM iaitu https://fundraising.utm.my/ untuk memudahkan pelbagai pihak memberi sumbangan wang bagi menjayakan program ini.

Setakat ini,  jumlah sumbangan terkumpul adalah sebanyak lebih RM 40,000.00 yang disumbang melalui laman sesawang fundraising UTM, pindahan bank, dan aplikasi UTM SMART.

Pada 1 Febuari 2023, Prof Madya Ir. Ts. Dr. Sheikh Ahmad Zaki telah menerima jemputan oleh Radio Television Malaysia untuk menyampaikan bicara sebagai rakan strategik Program KL Gema Al-Quran sekali gus menonjolkan UTM dalam membantu memacu pendidikan Al-Quran di Kuala Lumpur.

Poster hebahan media Prof. Madya Ts Ir Dr. Sheikh Ahmad Zaki dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM
Brosur promosi Kempen Infaq Al-Quran

 

Explore More