April 20, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi Majlis Felo KTDI bersama Bahagian Keselamatan UTM pastikan keselamatan warga kampus

JOHOR BAHRU, 11 Jan. – Majlis Felo Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) bersama Bahagian Keselamatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Lawatan Muhibah dan Rondaan Bersepadu di sekitar blok kediaman pelajar KTDI. Aktiviti rondaan bermula di sekitar Dewan Sri Resak, seterusnya meliputi ke blok kediaman lain di KTDI.

Taklimat daripada Bahagian Keselamatan UTM.

Rondaan dilaksanakan secara spontan tatkala para pelajar sedang melakukan aktiviti di sekitar Dewan Sri Resak dan Arked Angkasa. Kawasan rondaan meliputi sekitar Dewan Sri Resak dan Arked Angkasa serta bilik-bilik pelajar berhampiran.

Semasa rondaan dijalankan, Majlis Felo turut mengambil kesempatan bertanyakan hal kebajikan dan keselesaan para pelajar KTDI serta penghuni di bilik-bilik yang terlibat. Bilik-bilik yang terlibat adalah bilik pelajar prasiswazah dan siswazah yang menginap di blok tersebut. Pemeriksaan di dalam bilik penghuni turut dijalankan untuk memastikan penghuni tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh universiti.

Pegawai Bahagian Keselamatan membuat rondaan di Dewan Sri Resak.
Para pelajar yang disaman akibat kesalahan berambut panjang melebihi paras yang ditetapkan

Berdasarkan pemerhatian rondaan kali ini, kebanyakan pelajar masih aktif di waktu tersebut. Terdapat beberapa pelajar yang dilihat sedang melakukan aktiviti di hujung minggu termasuk berborak sesama mereka, bermain alat muzik serta terdapat juga yang sedang mengulangkaji pelajaran, perbincangan kelas dan menyiapkan tugasan akademik.

Rondaan ini mendapati para pelajar lelaki terutamanya, telah melanggar peraturan UTM seperti kesalahan berambut panjang melebihi paras yang dibenarkan. Kesalahan lain yang dilakukan antaranya ialah pemakaian seluar pendek (atas lutut).

Selain itu, rondaan ini mendapati bahawa terdapat beberapa jenis kerosakkan yang berlaku. Antaranya, kerosakan pada tandas, pintu, tingkap, lampu, kipas dan soket eletrik. Terdapat juga kerosakan di luar bilik seperti lampu koridor, dan tandas tersumbat. Dalam rondaan ini juga, tinjauan terhadap kekemasan dan keceriaan bilik dilakukan.

Rondaan ke Blok M19 KTDI.

Operasi rondaan bersepadu ini menjadi medan terbaik bagi pengurusan UTM dalam memastikan para pelajar patuh akan peraturan sebagaimana yang telah digariskan dalam Buku Panduan Pelajar. Ia juga menjadi platform yang terbaik dalam memastikan kesejahteraan warga kampus sekali gus menjayakan agenda KTDI sebagai antara kolej yang selesa dan kondusif untuk didiami.

 

Explore More