April 22, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar KRP serlah bakat seni menerusi lukisan mural di SMK Taman Universiti

Oleh: Muhammad Aizi Mat Salim, Nadiah Halim dan Siti Soraya Maisarah Razali

JOHOR BAHRU, 7 Jan. – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Rahman Putra (JKM KRP) telah berjaya menganjurkan program komuniti iaitu Program Mural KRP bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti (SMKTUN) selama dua hari bermula 6 hingga 7 Januari 2023.

Program ini melibatkan seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada ahli JKM KRP, sukarelawan dan Majlis Felo KRP. Program ini menerima sokongan padu dan jitu daripada guru-guru SMKTUN dan “Resipi Bonda Ku” dalam bentuk tajaan makanan.

Penganjuran program ini bertujuan mewujudkan suasana yang ceria di persekitaran sekolah sekali gus membuatkan pelajar berasa gembira dan minat untuk datang ke sekolah setiap hari. Program ini juga dapat memupuk kesedaran dan tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara mahasiswa dengan pihak sekolah.

Selain itu, mural yang menggambarkan pemandangan pusat pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini diharap menjadi inspirasi kepada pelajar SMKTUN untuk bersungguh-sungguh menuntut ilmu hingga ke menara gading khususnya di UTM kelak.

Pelajar KRP bersemangat dan gembira mencurahkan bakat seni mereka melalui lukisan mural yang dihasilkan di dinding SMKTUN.

Majis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Felo Penasihat, Dr. Muhammad Aizi bin Mat Salim yang mewakili Pengetua KRP UTM, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaluddin. Hadir sama dalam majlis tersebut adalah wakil Pengetua SMKTUN, Cikgu Nafisah binti Ibrahim; Pengarah Program, saudari Siti Soraya Maisarah binti Razali dan pemenang lukisan mural, saudari Siti Nur Anisah binti Zamri yang juga merupakan pelajar senibina UTM.

Penyampaian sijil penghargaan kepada wakil SMKTUN, Cikgu Nafisah atas sokongan yang diberikan sepanjang program berlangsung.

Penganjuran program khidmat komuniti seperti ini diharapkan dapat memupuk perasaan muhibbah antara warga UTM dan masyarakat setempat serta melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi pada masa hadapan.

KRP UTM amat menyokong dan menggalakkan program aktiviti pembangunan pelajar seperti ini, serta pada masa yang sama menyeru pelajar UTM untuk mengambil peluang tersebut agar bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah cemerlang juga daripada aspek pembentukan sahsiah.

Explore More