April 25, 2024

Search
Close this search box.

“Kenapa cakap tak cantik depan orang, kalau boleh jangan cakap macam itu,” terngiang-ngiang teguran yang sering diberikan pada usia kanak-kanak, menyebabkan pemilik nama Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan ini, menjadi seorang yang sangat berhati-hati dengan pertuturannya sehingga kini.

Tokoh Anugerah Utama Pesona Wanita Johor 2022 ini, mengakui pedoman ditinggalkan allahyarhamah ibunya, Jamilah Jasmy itu sehingga kini dijunjung tinggi dalam kamus kehidupannya.

“Saya ini seorang ekstrovert, memang suka ke depan jumpa orang dari kecil lagi. Kadang-kadang saya suka bercakap tanpa berfikir dan terus terang, namun setiap kali saya buat macam itu mata dia (ibu) akan ‘jegil’,” katanya yang kini bertugas sebagai profesor di Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mengakui asuhan orang tua banyak membentuk perilakunya, Dr Halimaton berkata, ibu dan bapanya disifatkan sebagai orang yang sangat berdisiplin dan tegas, apatah lagi beliau adalah anak sulung selain dilahirkan sebagai wanita.

Beliau berkata, disebabkan ayahnya, Hamdan Ismail bertugas sebagai pegawai polis dan sentiasa sibuk bekerja serta jarang menghabiskan masa di rumah, ibunya banyak memainkan peranan mengasuh serta mendidik anak-anak.

“Saya memiliki empat adik lelaki dan seorang adik bongsu perempuan. Disebabkan ayah sibuk di tempat kerja, saya setiap masa berada dengan emak. “Malah saya sentiasa membantu emak saya di mana-mana, apa yang emak buat saya ikut dan perhatikan walaupun tak buat kerja rumah, tetapi dia pastikan saya tahu apa perkara yang dia lakukan.

“Ibu saya mengingatkan supaya sentiasa menjaga masa dan sangat penting termasuk waktu tidur dan bangun. Walaupun saya sekolah asrama, tetapi saya tidak boleh bangun selepas 6.30 pagi.

“Mesti bangun subuh sekitar enam hingga 6.30 pagi. Ibu memang tak bagi peluang berehat lebih, tidur selepas subuh pun tiada, malah sehingga hari saya memang tak pernah tidur siang macam mana penat sekali pun memang susah tidur siang,” kata isteri kepada Profesor Madya Mohd Nazlan Mohd Muhid ini.

Katanya, ayahnya pula percaya perempuan Melayu mesti mahir melakukan kerja rumah termasuk menguasai bacaan al-Quran selain bersekolah di sekolah Melayu.

“Sebab itu ayah masukkan saya ke Sekolah Kebangsaan Bukit Senyum di Johor Bahru, Johor kerana dia mahu saya belajar agama dan mahir bahasa Melayu.

“Namun ayah tak menghalang saya masuk sekolah berasrama dan beraliran Inggeris asalkan saya belajar bersungguh- sungguh untuk terpilih,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Sumber :  Harian Metro – 17 Disember 2022

Baca artikel

Explore More