April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan CSM Jalin Kerjasama Strategik Tingkatkan Kualiti Graduan Keselamatan Siber dengan Pengiktirafan Profesional

KUALA LUMPUR, 15 Nov. – Majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA)  antara Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), UTM dan CyberSecurity Malaysia (CSM) telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. UTM telah diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail manakala CSM pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato Ts. Dr Haji Amirudin Abdul Wahab.

Kerjasama yang terjalin antara CyberSecurity Malaysia dan UTM adalah dalam usaha sama memacu kecemerlangan akademik dan kemahiran serta keperluan strategik keselamatan siber di Malaysia, di bawah projek kerjasama pensijilan profesional keselamatan Siber bagi kursus Sarjana Sains (Jaminan Maklumat) di FTIR bersama Global ACE.

Dalam ucapan Datuk Naib Canselor, beliau menekankan bahawa “kerjasama ini dapat meningkatkan kualiti pelajar yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik malahan mempunyai kemahiran yang diiktiraf oleh industri serta memenuhi keperluan pasaran di dunia yang berkembang pesat terutamanya dalam bidang Cybersecurity.

“Inisiatif ini juga akan mendukung MalaysiaCybersecurity Strategy 2020-2024 , Pillar 4 “Enhancing Capacity Building, Awareness and Education” yang telah digariskan oleh kerajaan Malaysia,” tambah Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia turut menyatakan “setinggi-tinggi penghargaan kepada ketua projek, para pensyarah serta tenaga pengajar yang terlibat di dalam usaha untuk merealisasikan graduan FTIR yang turut akan mendapat pensijilan profesional keselamatan siber di bawah skim Global ACE ini.

“Global ACE merupakan salah satu program Cybersecurity Malaysia bertujuan untuk meningkatkan dan memberi pengiktirafan profesional bagi kemahiran tenaga kerja keselamatan siber bersesuaian dengan keperluan tempatan dan antarabangsa, ” jelas Dato Dr. Hj. Amirudin.

Beliau juga turut berkongsi data daripada CyberSecurity Malaysia yang telah merekodkan 473 insiden keselamatan siber yang dirujuk kepada mereka sepanjang tempoh 1 Oktober sehingga 31 Oktober 2022. Jumlah keseluruhan insiden keselamatan siber bagi tempoh bulan Januari hingga Oktober adalah sebanyak 6,475 insiden.

Insiden-insiden keselamatan siber ini terdiri daripada dua aspek iaitu insiden teknikal (menerusi pencerobohan, kod berbahaya, gangguan perkhidmatan dan lain-lain) dan insiden daripada aspek aduan kandungan (menerusi penipuan dan aduan berkaitan kandungan). Justeru, amatlah penting graduan yang dihasilkan oleh UTM mempunyai kemahiran yang tinggi agar mampu menangani serangan siber yang lebih mencabar pada masa akan datang. 

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Ts Dr Noor Azurati Ahmad@Salleh, setakat ini terdapat empat sijil profesional dari Global ACE yang telah disetarakan dengan kursus Sarjana Jaminan Keselamatan Maklumat di FTIR iaitu Sijil Profesional Pakar IoT Blockchain, Pakar Undang-undang Siber, Penganalisa Forensik Siber dan Pengurus Risiko Keselamatan Siber. Pelajar-pelajar UTM boleh mendapat pensijilan profesional ini dengan menduduki peperiksaan yang dijalankan oleh pihak CSM di FTIR dengan kos yang sangat berpatutan. 

Sesi Pertukaran MoA. Dari kiri, Dekan FTIR, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin; Pro Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Ts. Dr. Abd Latif Salleh; Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Dato Ts. Dr Haji Amirudin Abdul Wahab; Ketua Pegawai Operasi, En. Roshdi Haji Ahmad; En. Ruhama Mohammed Zain, dan Pengarah ICC UTM selaku Ketua Projek, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh

Bersama barisan delegasi Cybersecurity Malaysia dan pensyarah yang terlibat dalam melaksanakan projek kerjasama UTM-CSM

Explore More