April 19, 2024

Search
Close this search box.

Kesusahan Keluarga Bukan Penghalang Ranjinidevi Capai Impian

Oleh: Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman

JOHOR BAHRU, 22 Nov. Ranjinidevi A/P Dharmalingam telah membuktikan di Majlis Konvokesyen ke-66 (MK66) bahawa pengorbanan yang beliau tempuhi selama ini boleh dijadikan inspirasi buat semua orang untuk terus berjaya.

Beliau yang lahir dari keluarga yang susah yang mana ayah bekerja sebagai buruh binaan (kini tidak bekerja kerana sakit) manakala ibu pula bekerja sebagai pembantu pembersihan, bukanlah alasan untuk beliau meneruskan cita-citanya ke menara gading.

Pengorbanan yang dibuat oleh Ranjinidevi ini bermula apabila beliau tidak dapat menyambung pengajian sejurus tamat SPM pada tahun 2007, lantaran ibu bapanya pada ketika itu perlu menanggung kos pembelajaran empat orang adik-beradiknya.

Kos pengajian yang tinggi menyebabkan beliau terpaksa mengorbankan cita-citanya dan mula bekerja bagi membantu ibu bapanya menyara keluarga. 

Kesungguhan dan keikhlasan beliau dalam menyara keluarga membuahkan hasil apabila beliau ditawarkan untuk bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan (N19) di  Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Ketika inilah, berkat sokongan suami dan rakan sekerja, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan impiannya menyambung pengajian yang pernah dipendam selama ini.

Lantaran itu, pada tahun 2012, beliau telah menghadiri Hari Terbuka UTMSpace di UTM Kuala Lumpur. Beliau lantas mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma dalam bidang Pengurusan Harta Tanah secara separuh masa.

Berkat kesungguhan dan kerja keras yang dicurahkan, beliau telah pun berjaya menamatkan Diploma pada tahun 2016.  

Hasrat beliau untuk memiliki ijazah pertama semakin membara dan telah mendorongnya untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. Beliau mengorbankan masa bersama keluarga untuk  menghadiri kelas pada hujung minggu yang mana pada hari Isnin hingga Jumaat, beliau akan bekerja secara sepenuh masa.

Beliau banyak meluangkan masa di malam hari untuk mengulang kaji pelajaran serta menyiapkan kerja kursus  yang diberikan oleh pensyarah. 

Dengan semangat juang yang tinggi, beliau sentiasa mengingatkan diri agar bersungguh-sungguh demi meningkatkan pencapaian diri serta membanggakan keluarga.

Atas dorongan ini, Ranjini bukan sahaja tekun menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar bahkan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang di tempat kerja.

Kejayaan beliau hari ini adalah hasil keterbukaan pensyarah yang banyak memberikan ruang kepadanya untuk bertanya lebih-lebih lagi berkaitan bidang pengurusan harta tanah serta adanya sokongan daripada dua sahabat karib, iaitu Puan Roshana binti Abu Bakar dan Puan Halawati binti Hashim.

Dengan bantuan dua sahabat baik ini, beliau dapat mengulang kaji dengan lebih baik sewaktu peperiksaan akhir. Kata-kata semangat dan persaingan yang sihat antara mereka telah membuatkan beliau untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam  mencapai kecemerlangan ini. 

Cabaran sebagai seorang mahasiswa secara separuh masa bukanlah  mudah, apatah lagi kelas secara atas talian serta sebagai ibu kepada dua orang anak.

Tidak dinafikan bahawa beliau banyak berkorban masa dengan keluarga bagi menyiapkan Projek Sarjana Muda, namun penat lelah dan pengorbanan tersebut tidak sia-sia kerana beliau berjaya  menamatkan pengajian dengan CGPA 3.93 dan menerima Anugerah Naib Canselor. 

Kebanggaan ini dapat dirasai apabila beliau merupakan ahli keluarga pertama yang berjaya menamatkan  pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di kedua-dua belah ibu dan ayah. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan kedua ibu bapa, malah juga kepada suami dan seluruh ahli keluarganya. 

Explore More