April 19, 2024

Search
Close this search box.

Jun Jie Rangkul Anugerah Canselor Walaupun Aktif Dalam UTM Robocon

Oleh: Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman

JOHOR BAHRU, 24 Nov.– Tan Jun Jie atau lebih dikenali sebagai JJ, merupakan seorang graduan yang baru sahaja dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-66 (MK66) atas pencapaian dan kesungguhan beliau dalam menampilkan kecemerlangan diri sepanjang tempoh pengajiannya di sini. 

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Mekatronik) di bawah Fakulti Kejuruteraan Elektrik ini sememangnya aktif berkecimpung dengan segala  program yang dianjurkan oleh mana-mana organisasi, khususnya dari UTM Robocon kerana beliau cenderung terhadap pekhususan robotik. Potensi yang ditonjolkan disusuli dengan sifat kepimpinan yang berkarisma telah mencalonkan beliau sebagai Presiden UTM Robocon Team pada tahun 2019.

Menurut Jun Jie yang mempunyai kredibiliti seorang pemimpin yang wajar dicontohi, beliau berpendapat bahawa setiap ahli pasukan berhak untuk memberi suara dan pendapat kerana setiap di antara mereka merupakan aset penting dalam sesebuah pasukan, di samping setiap orang memainkan peranan penting dengan berkongsi matlamat yang sama, iaitu untuk menjulang trofi kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.

Jun Jie yang berasal dari Pulau Pinang, kini bekerja sebagai Mastercard Data & Service yang berpangkalan di Malaysia bertukar kerjaya dari bidang kejuruteraan kepada pengurusan dan perundingan data kerana beliau berhasrat untuk mengembangkan lagi minat dalam perniagaan khususnya dalam merangka strategi, memperoleh pendedahan dalam projek yang berbeza serta pengurusan organisasi perundingan yang berbagai-bagai selok-beloknya.

Tidak dinafikan jika beliau memperoleh setinggi-tinggi anugerah kecemerlangan kerana penglibatan aktifnya di dalam kelab amat membanggakan sama sekali. Tahun lalu, beliau memperoleh Anugerah Naib Canselor 2021, Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi & Inovasi 2021, UTM 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) – Track Technopreneurship dan juga Top 50 Malaysia Young Talent Award by Monsta Asia 2020. 

Beliau amat bersyukur atas penganugerahan yang diberikan kepadanya kerana beliau memaklumkan bahawa UTM telah memberikannya pengalaman yang lebih luas sepanjang 4 tahun belajar di sini yang mana beliau dapat memantapkan lagi cara berkomunikasi yang lebih interaktif, menambahkan kenalan dari budaya yang berbeza serta memperoleh banyak latihan yang melibatkan robotik sekali gus dapat meningkatkan kemampuan diri.

Explore More