April 23, 2024

Search
Close this search box.

Bertempat di Balai Raya Kampung Sungai Melayu, sekumpulan 6 orang staf Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP) dari Sekolah Komputeran, Sekolah Kejuruteraan Awam, serta dari Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (JTNCHEP) UTM telah melaksanakan program kesedaran serta perpindahan ilmu berkaitan Asas Teknologi Simenfero kepada masyarakat di Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru.

Program yang tercetus daripada majlis pelancaran modul Asas Teknologi Simenfero ini diketuai oleh Ts. Mohd Hazri bin Ishak, En. Nawawi bin Mohd Salleh selaku penceramah, serta barisan fasilitator yang terdiri daripada Tuan Noor Hani binti Tuan Yunus, Rosmawati binti Ahmad, Roslee bin Ishak, dan Aznorsam binti Salleh, telah pun dihadiri oleh 67 orang peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan mahasiswi Institut Pendidikan Guru, serta masyarakat setempat dari sekitar kawasan Kampung Sungai Melayu.

Program berbentuk taklimat dan mini hands-on ini bermatlamat untuk memberikan pendedahan serta pengetahuan asas berkaitan teknologi Simenfero yang mana ia terkenal sebagai sebuah teknologi yang menggunakan bahan binaan yang murah, mudah dikerjakan, tahan lasak, tidak memerlukan teknologi yang tinggi serta mudah diselenggara. Para peserta turut didedahkan tentang asas kejuruteraan awam bagi membangkitkan minat dalam kerjaya menjadi seorang jurutera awam.

Taklimat dijalankan dengan menerapkan elemen fun learning dan kuiz-kuiz spontan bagi memastikan peserta kekal fokus dan mampu mengikuti sesi perkongsian ilmu ini. Sementara itu, aktiviti mini hands-on pula merangkumi aktiviti mengecat kerusi dan meja landskap simenfero, serta beberapa cendawan hiasan bersaiz kecil menggunakan cat berasaskan air dan arcylic finishing gloss bagi memastikan ketahanan binaan terhadap iklim tempatan.

Hasil binaan ini diletakkan di halaman Balai Raya Kampung Sungai Melayu sebagai tanda simbolik penghargaan dan komitmen UTM membantu masyarakat Kampung Sungai Melayu dalam melestarikan dan merancakkan aktiviti eko-pelancongan di sini.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada agenda program pelancaran Denai Bersama Komuniti (DSKom22) anjuran Pusat Pelestarian Kampus UTM yang berlangsung pada 24 September 2022. Program pelancaran tersebut turut menampilkan 5 buah modul berkaitan kelestarian sungai, sekali gus dijadikan rujukan dan panduan dalam penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.

Program yang dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri ini turut dihadiri oleh YB Datuk Haji Pandak bin Ahmad, Ahli Dewan Negeri Johor (Kota Iskandar); Ybrs. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM dan  Ybrs Ir. Mahidi bin Mahamood, Timbalan Setiausaha Kehormat UNESCO-IHP Malaysia.

Hadir sama dalam program ini adalah Ybrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan bin Haji Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM; Ybrs. Tn Haji Yusof bin Ahmad, Ahli Majlis Zon Kota Iskandar MBIP; Ybrs. Prof Ir. Ts. Mohd Fadhil bin Md Din, Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus UTM; Ybrs Tn. Haji Abdul Razak Aziz, Jurutera Daerah Johor Bahru, dan juga Ybrs. Tn. Suzaidi Ibrahim, Ketua Kampung Sungai Melayu Iskandar Puteri.

Dapatan maklum balas daripada para peserta menunjukkan bahawa program ini telah memberikan impak ke atas mereka bukan sahaja dari pertambahan minat terhadap ilmu kejuruteraan ini, malah ia juga sedikit sebanyak turut dapat mengasah bakat kemahiran peserta mengecat produk simenfero ini.

Selain itu, peserta juga mampu melihat ruang dan peluang dalam mempertingkat taraf sosio-ekonomi tempatan melalui aktiviti eko-pelancongan yang melibatkan pembangunan produk daripada teknologi simenfero. Malah, Dato’ Haji Mohd Haffiz dalam ucapan perasmiannya turut memuji usaha murni UTM dan berharap usaha ini mampu digiatkan dan diperkasakan lagi dari semasa ke semasa.

Kumpulan penyelidik di ruangan pameran sebelum program bermula.

Pengenalan teknologi simenfero kepada Datuk Bandar dan delegasi tetamu kehormat.

Hasil produk simenfero yang diserahkan terus kepada komuniti Kg. Sungai Melayu.

Demonstrasi aktiviti mengecat bersama peserta program sedang dijalankan.

Modul Asas Teknologi Simenfero yang yang telah dibangunkan oleh UTM.

Explore More