April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Sept. – Bagaikan sireh pulang ke gagang, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Barangkali itulah perasaan ketiga-tiga alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah dijemput selaku ahli panel dalam Forum Memperkasa Alumni bertajuk “Peranan Alumni Dalam Memperkasa Alma Mater” bersempena Program Homecoming Alumni UTM 2022.

Dewan Senat Ainuddin Wahid menjadi saksi imbauan kenangan dan nostalgia Tuan Hj. Burhanuddin Md. Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production (graduan UTM 1982); YBhg. Datuk TPr. Hj. Lokman Hj. Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (graduan UTM 1980), dan YB Senator Sr. Hj. Mohd Apandi Mohamad, Ahli Dewan Negara (graduan UTM 1983).

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad turut hadir memeriahkan Forum Memperkasa Alumni.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam Rasidi, Pengarah UTMAlumni bertindak sebagai moderator forum. Turut hadir dalam forum ini adalah Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dan Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM. Kehadiran kira-kira 50 staf dan pelajar UTM turut sama memeriahkan lagi forum tersebut.

Dari Bidang Kejuruteraan Petroleum ke Dunia Animasi

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Tuan Hj. Burhanuddin untuk menceburi dunia animasi. Apatah lagi, beliau bergraduasi dari UTM dengan berlatar belakang kejuruteraan petroleum dan gas asli. Selepas bergraduan, beliau telah berkhidmat sebagai Jurutera Petroleum di Petronas Carigali Miri, sebelum dilantik sebagai Ketua Penghasilan Operasi dan meneruskan perkhidmatan bersama Petronas sehingga tahun 1992.

Kemudian, pada tahun 1994, beliau menyertai Dayang Enterprise sebagai Pengarah Urusan sebelum meninggalkan syarikat itu pada tahun 2004, yang mana syarikatnya berjaya menjana hasil pendapatan daripada RM8 juta setahun (1994) kepada RM163 juta setahun (2004).

Hasrat untuk bersara awal telah diberitahu kepada isteri beliau, Hjh. Ainon Ariff, yang akhirnya mencetuskan idea kepada beliau untuk melibatkan diri dalam industri perfileman. Bermula dengan lapan orang graduan muda, akhirnya mereka mula bertapak sebagai sebuah entiti syarikat animasi, Les’ Copaque Production.

Tuan Hj. Burhanuddin Md. Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production merupakan graduan UTM tahun 1982.

Melalui proses penyelidikan, latihan dan pembinaan jalan cerita selama lapan bulan, akhirnya animasi Upin & Ipin berjaya direalisasi. Walaupun menghadapi cabaran yang getir, animasi ini berjaya mendapat tempat di stesen televisyen tempatan, TV9 di samping menembusi pasaran negara jiran, Indonesia.

“Upin & Ipin bukan sekadar satu animasi, malah ia menjadi satu titik persamaan dalam merapatkan hubungan dua negara, Malaysia dan Indonesia. Di Indonesia, Upin & Ipin ditonton bukan sahaja oleh kanak-kanak, malah turut menarik minat orang dewasa untuk turut sama menontonnya,” jelas Tuan Hj. Burhanuddin.

“Adalah menjadi hasrat saya untuk menghasilkan karya animasi yang bukan sahaja menonjolkan keunikan budaya kita, malah memberi pengajaran yang bermakna,” tambah beliau lagi.

Didikan Tan Sri Ainuddin Wahid Perkasa Jatidiri

Menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang perancangan bandar dari UTM, YBhg. Datuk TPr. Hj. Lokman Hj. Omar sememangnya merupakan individu yang amat berpengalaman dalam bidang pembangunan bandar dan perumahan. Selesai sahaja pengajian, YBhg. Datuk telah memulakan perkhidmatan di sektor awam sebagai Pegawai Perancang Bandar, Jabatan Perancang Bandar di Pulau Pinang selama dua tahun, sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Beliau kemudian meneruskan perkhidmatan bersama Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan (SPPK), di bawah Kementerian Kewangan, sebelum menyertai Majlis Perbandaran Seremban pada tahun 1992, dan bersara dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Jabatan Perancang Bandar pada tahun 2017.

Kepakaran beliau yang luas menjadikan khidmat beliau kembali ditagih untuk menerajui Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu selaku Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2020.

YBhg. Datuk TPr. Hj. Lokman Hj. Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu merupakan graduan UTM tahun 1980.

“Didikan Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid, Naib Canselor UTM yang pertama masih lagi berbekas dan memberi kesan dalam pembentukan karakter saya sehingga hari ini,” kata YBhg. Datuk.

“Sifat kebapaan Tan Sri Ainuddin terserlah apabila Allahyarham sangat memberi penekanan terhadap didikan agama dan melayan mahasiswa umpama anak-anaknya,” tambah YBhg. Datuk ketika megimbau memorinya semasa menuntut di UTM.

“Sepanjang saya berkhidmat dalam mana-mana agensi, saya akan memastikan fail diletak di atas meja, bukan diletak di bawah meja. Sebarang urusan dijalankan dengan telus dan berintegriti,” jelas YBhg. Datuk yang sangat menekankan urus tadbir bersih dan beretika.

UTM: Di Sini Lahirnya Pemimpin

Figura sebagai seorang ahli politik amat terserlah, ditambah pula dengan kepetahan beliau ketika berbicara dan membentangkan fakta. Maka, selayaknya YB Senator Sr. Hj. Mohd Apandi Mohamad berada di tempatnya sekarang, iaitu sebagai Ahli Dewan Negara.

Sebelum menceburi bidang politik, YB Senator yang berkelulusan Ukur Tanah merupakan Pengurus Cawangan Terengganu Jurukur Perunding, Pengarah Jurukur Esa dan Pengasas Jurukur Teguh antara tahun 1983 sehingga 1985. Pengalaman beliau yang luas dalam bidang ukur meletakkan beliau sebagai antara juruukur bertauliah, di samping menjadi ahli Institusi Juruukur Diraja Malaysia.

YB Senator Sr. Hj. Mohd Apandi Mohamad, Ahli Dewan Negara merupakan graduan UTM tahun 1983.

Kerjaya politik beliau pula penuh warna-warni. Beliau pernah memenangi kerusi Parlimen P30 Jeli dalam Pilihanraya Umum yang ke-10 (PRU 10) pada 1999, yang mana beliau telah diberikan mandat sebagai Ahli Parlimen Jeli selama satu penggal (1999-2004). Beliau juga diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyandang jawatan Penyelia Parlimen Jeli (2004-2017).

Ketrampilan dan kepimpinan beliau sememangnya diakui dan melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bermula 8 Julai 2020.

“Bakat kepimpinan saya dibentuk ketika saya masih tahun pertama di UTM. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah membentuk satu pasukan debat UTM bersama-sama Tan Sri Annuar Musa (kini Menteri Komunikasi & Multimedia) dan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (kini ADUN Kok Lanas),” jelas YB Senator.

“UTM sebenarnya mempunyai jaringan alumni yang hebat merentas negeri di seluruh negara. Sudah tiba masanya untuk kita menggembleng segala kekuatan dan kepakaran alumni kita, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada generasi baharu UTM,” ulas beliau di akhir bicara.

Sesi bergambar Datuk Naib Canselor bersama ahli panel dan moderator.

Sesi bergambar bersama peserta yang hadir.

Explore More