April 25, 2024

Search
Close this search box.

Program Minggu Sains Negara UTM Realisasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara

Oleh: PM ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar dan Ts. Dr. Syazwani Itri Amran

Bagi memastikan negara mengekalkan daya saing pada peringkat global, transformasi negara perlu dipacu oleh bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE). Justeru, keutamaan tindakan harus diberikan terhadap agenda pemerkasaan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan teknologi tempatan dan pembudayaan STI.

Dengan latar belakang ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan program Karnival STEM Merdeka sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022. Program ini berjaya dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kerajaan Negeri Johor serta mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan dan industri.

Aktiviti-aktiviti Karnival STEM Merdeka turut direkabentuk bagi memenuhi pelan tindakan teras kelima Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 iaitu pembudayaan dan pengaplikasian STIE. Dalam konteks ini, pengetahuan dan kepakaran UTM dalam bidang berkaitan STEM telah berjaya dimanfaatkan bagi memberikan impak yang lebih besar dan menyeluruh dalam menyahut seruan pelaksanaan DSTIN.

Misalnya menerusi program Karnival STEM Merdeka ini, pelbagai projek inovasi berteraskan penyelidikan UTM telah dipamerkan. Pameran ini juga bertujuan mempromosikan inovasi tempatan melalui kejayaan UTM, seterusnya dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan seluruh lapisan masyarakat tentang sumbangan serta kepentingan STI.

Antara produk inovasi UTM tersebut adalah BeeModular Box untuk penternakan lebah kelulut, aplikasi ‘Internet of Things’ (IoT) untuk kebun bandar, penghasilan produk berasaskan nenas, Aquaponic Freshwater Lobster (Cherax quadricarinatus) Farming, krim NemaMed yang merawat kecacingan di kalangan kanak-kanak dan JAGADRONE Surveillance System. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada sambutan 50 tahun penubuhan UTM yang mempunyai sejarah sumbangan yang berterusan dalam meningkatkan sosio-ekonomi kehidupan masyarakat.

Selain itu, aktiviti pendidikan interaktif dengan pelbagai tema STEM turut disediakan. Melaluinya, pengunjung termasuk pelajar-pelajar sekolah dapat didedahkan kepada bidang kimia, matematik, fizik nuklear, astronomi, sains tumbuhan, robotik dan kejuruteraan mekanikal secara praktikal. Malah, sesi interaksi bersama ikon STEM turut diadakan bagi memberikan inspirasi dan pengetahuan kepada pelajar untuk memilih bidang pembelajaran dan kerjaya dalam bidang STEM.

Menyedari keperluan untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan bagi pelajar-pelajar sekolah, Karnival STEM Merdeka juga menganjurkan pelbagai pertandingan kompetitif seperti ‘explorace‘, inovasi roket air, inovasi penapisan air, jam matahari DIY dan teleskop DIY. Bagi memberikan pengiktirafan terhadap kejayaan pelajar-pelajar, ciptaan inovasi peringkat sekolah turut dipamerkan.

Kesemua usaha pendidikan ini bertepatan dengan keperluan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM, termasuk memenuhi sasaran untuk meningkatkan nisbah pelajar aliran sains tulen di peringkat sekolah. Lebih-lebih lagi, cabaran semasa bagi melahirkan bakat STEM turut memerlukan inisiatif galakan penerusan pembelajaran pasca persekolahan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Menariknya, Karnival STEM Merdeka juga memberikan perhatian utama terhadap pendidikan kelestarian melalui STI, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari SDG. Antaranya melalui penganjuran bengkel kelestarian baja kompos dan forum kesihatan planet yang terbuka kepada masyarakat umum.

Kejayaan penganjuran aktiviti yang bersepadu melalui Karnival STEM Merdeka Minggu Sains Negara ini diharap dapat menjadi tanda aras baharu penganjuran program pendidikan dan pembudayaan STIE yang berimpak tinggi. Bagi UTM, kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan akan terus dimajukan bagi mencapai misi membangun bakat holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.

Explore More