April 25, 2024

Search
Close this search box.

Satu forum bersama Panel Penasihat Industri (IAP) bagi bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah diadakan pada 30 Mei 2022 di Hotel Ramada Meridin, Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor. Forum yang dikenali sebagai Land Administration and Development Academia-Industry Forum (LADAIF ’22) telah melibatkan seramai 9 Panel Penasihat Industri bagi Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Jabatan Harta Tanah.

Mereka telah dilantik khusus bagi memperkukuh pembangunan program akademik dan penyelidikan, pembangunan strategik dan halatuju jabatan, serta sebagai perunding bagi jabatan dalam menyumbangkan idea dan tenaga mengikut keperluan semasa.

Barisan Panel Penasihat Industri terdiri daripada agensi kerajaan dan juga swasta seperti Bahagian Korporat PLANMalaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PRG Holdings Bhd., PA International Property Consultants Sdn. Bhd., AB Property Management Solution, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Ikbal Salam & Associates Advocates & Solicitors, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), dan Majlis Perbandaran Kulai, Johor. Turut hadir bersama, Siti, Affida, & Ariffin Advocates & Solicitors.

Forum ini juga menjadi platform dalam menjalinkan dan memantapkan hubungan antara ahli akademik bidang pentadbiran dan pembangunan tanah UTM dan industri, sekali gus memperkasakan dan melengkapkan graduan-graduan bidang ini agar mereka kekal relevan memenuhi kehendak industri dan pasaran.

Forum dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, saudara Aliffi Dasriq Bin Nor Azmi. Seterusnya, forum membuka tirai dengan Ucapan Dasar Industri-Akademia oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali selaku Pengarah (Harta Tanah).

Pembentangan pertama bertajuk ‘Pemantapan Silibus Program Sarjana Muda Sains (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah)’ telah disampaikan oleh Dr. Fatin Afiqah Md. Azmi, selaku Penyelaras Pra Siswazah Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.

Pembentangan kedua pula bertajuk ‘Isu- Isu Nadir Bumi dan Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) dalam Bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah’ yang telah dibentangkan oleh Ts. Gs. Dr. Robiah Suratman, selaku Pensyarah Kanan, Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.

Pembentangan terakhir bertajuk ‘Keperluan Mewujudkan Kod Perjawatan Khusus bagi Bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah di Agensi Kerajaan, Pusat, Negeri dan Kerajaan Tempatan’ oleh Dr. Salfarina Samsudin, Penyelaras Pasca Siswazah Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.

Forum ini berlangsung dengan jayanya dan mendapat maklum balas yang sangat positif daripada Panel Penasihat Industri dalam merangka serta menambahbaik pelan perancangan strategik akademik dan penyelidikan jabatan.

LADAIF ’22 melabuhkan tirai dengan Ucapan Perasmian Penutupan daripada Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Sr. Dr. Kherun Nita bte Ali di mana besarlah harapan beliau agar LADAIF ’22 memberikan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak, akademia mahupun industri.

Barisan Panel Penasihat Industri

Ucapan Pengarah Jabatan Harta Tanah

Pembentangan Penyelaras Pra Siswazah Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah

Ucapan Perasmian Penutupan LADAIF ’22

Para Panel Penasihat Industri, Ahli Akademik, serta Pelajar Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah

Explore More