April 20, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan enam tokoh pemimpin alumni dalam sebuah majlis jamuan ringkas sempena Aidilfitri di UTM Kuala Lumpur hari ini.

Antara tokoh alumni UTM yang hadir adalah Yang Berhormat Dato Seri Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan, Yang Berbahagia Tan Sri Acryl Sani bin Abdullah Sani, Ketua Polis Negara.

Turut hadir Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Sahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I, Yang Berbahagia Dato Seri Ir. Dr Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Yang Berbahagia Datuk Ir Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya dan Yang Berhormat Ir Razali bin Kassim (DUN Muadzam Shah) turut hadir.

Naib Canselor UTM, Datuk Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail dalam ucapannya begitu menghargai kebersamaan tokoh-tokoh alumni ini walaupun dalam kesibukan tugasan masing-masing.

“Walaupun dalam kesibukan tugasan menguruskan agensi masing-masing, kehadiran para tokoh alumni amat-amat UTM hargai”.

Sehingga sesi konvokesyen ke-65 kelak, UTM bakal mempunyai seramai lebih 196,000 alumni termasuk 8,600 alumni dari luar negara”, tambah beliau lagi.

Dalam sesi selama hampir sejam setengah tersebut, majlis diceriakan dengan sesi perkongsian santai oleh tokoh-tokoh alumni yang menceritakan kenangan suka dan duka sepanjang pengajian di universiti dahulu.

Dugaan dan cabaran sewaktu menempuh alam pekerjaan turut dikongsikan di samping harapan dan pandangan turut dilontar oleh tokoh-tokoh ini untuk panduan UTM pada masa akan datang.

Untuk rekod, UTM mempunyai lebih 40 tokoh alumni dalam kalangan pemimpin yang sedang dan pernah memegang beberapa jawatan utama negara seperti Menteri, Menteri Besar, Datuk Bandar, Ketua Pengarah dan Wakil rakyat.

Beberapa tokoh alumni lain turut dijemput namun, atas kekangan tugas dan komitmen yang telah diatur lebih awal, mereka tidak dapat hadir bersama.

Majlis anjuran UTMAlumni ini turut dihadiri pengurusan kanan UTM termasuk Pengerusi dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah UTM yang lain serta Persatuan Alumni UTM (PAUTM).

Penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak secara langsung atau tidak langsung yang telah sama-sama menjayakan program jamuan Aidilfitri bersama tokoh alumni kali ini.

Explore More