April 25, 2024

Search
Close this search box.

Siri Ceramah “Syawal Dinanti Ramadan Disyukuri” Tingkatkan Ketaqwaan Warga KTDI

Program Ceramah Bersiri “Syawal dinanti, Ramadhan Disyukuri” anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Dr. Ismail (JKM KTDI) sesi 2021/2022 telah diadakan sepanjang bulan Ramadan dalam usaha menggalakkan warga KTDI untuk meningkatkan amal soleh dan menambah ilmu pengetahuan terutama tentang amalan sunnah 10 malam terakhir, seterusnya memantapkan lagi ibadah puasa yang sedang dilaksanakan.

Program bersiri ini diadakan secara tiga sesi iaitu pada 15, 22 dan 29 April 2022. Sementara itu, JKM KTDI turut melaksanakan pengagihan makanan berbuka puasa kepada warga KTDI pada 27 April 2022.

Sesi ceramah yang pertama diadakan pada 15 April 2022 dengan tajuknya ‘Sunnah Di Mikraj Ramadhan’. Penceramah jemputan adalah Dr. Nur Najwa Hanani Binti Abd Rahman. Dr. Nur Najwa telah menyampaikan beberapa perkara yang boleh diamalkan dan dikerjakan sepanjang bulan Ramadan, seterusnya mengajak warga KTDI untuk tidak melepaskan peluang mengejar ganjaran pahala berganda dalam bulan yang mulia ini.

Seterusnya, sesi ceramah kedua yang diadakan pada 22 April 2022 telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Prof. Madya Dr. Siti Norlina Binti Muhamad. Sepanjang sesi ceramah, beliau menerangkan kepentingan mengejar malam lailatul qadar dimana ia merupakan satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Beliau turut menceritakan pengalaman beliau mengejar malam lailatul qadar, dalam masa yang sama menitipkan nasihat dan kaedah untuk mendapatkan fadilat malam tersebut.

Sementara itu, program pengagihan makanan berbuka puasa telah diadakan pada 27 April 2022 di Arked Angkasa, KTDI. Program ini dijalankan demi meringankan beban kewangan, terutama bagi pelajar-pelajar B40 untuk mendapatkan makanan berbuka puasa. Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga KTDI.

Seterusnya, sesi ceramah ketiga telah diadakan dan disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim @ Fadzim pada 29 April 2022. Dalam perkongsiannya, beliau telah menerangkan mengenai adab-adab dan juga amalan sunnah yang boleh diamalkan sepanjang menyambut Hari Raya Aidilfitri, agar perkara tersebut menjadi sebahagian daripada ibadah dan memperoleh ganjaran pahala.

Penganjuran program ceramah bersiri ini diharap dapat meningkatkan lagi ketaqwaan warga KTDI, seterusnya menjadi medan untuk mendapat keredaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Explore More