April 20, 2024

Search
Close this search box.

Disiplin Diri Kunci Kejayaan Eileen Rangkul Dua Anugerah Serentak

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia Kali ke-65 ini telah menyaksikan detik bermakna buat graduan Eileen Khiu Xin Ying yang telah berjaya menamatkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Jurusan Juruukur Bahan, “Quantity Surveying” sekaligus membuktikan kehebatan dirinya dengan merangkul dua anugerah sekaligus iaitu, Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik .

Dalam temubual bersama beliau, anak muda kelahiran Kuching, Sarawak ini berkata kunci kejayaan yang dikecapinya pada hari ini adalah hasil daripada disiplin diri dan pengurusan masa yang betul, terutamanya apabila terpaksa mengahadapi pembalajaran dalam era pandemik Covid-19 ini.

Ketiadaan rakan di sisi ditambah dengan persekitaran pembelajaran yang berbeza di rumah telah menggalakkan lagi diri beliau untuk mewujudkan motivasi di dalam dirinya dengan sentiasa mempratikkan dua prinsip tersebut dalam kehidupan sehariannya sebagai seorang pelajar.

Berpegang dengan kepercayaan universiti merupakan tempat terbaik bagi seseorang untuk mengembangkan potensi diri, beliau turut bergiat aktif di dalam program berasaskan keusahawanan, kepimpinan dan pertandingan akademik.

Antaranya , beliau telah terpilih untuk menjalankan program pertukaran pelajar ke Beijing, China bersama 21 peserta lain yang datang daripada latar belakang berbeza yang hebat antaranya doktor, peguam dan ahli politik di bawah program ‘Malaysia-China Youth Student Exchange Program (MCYEP)’ pada tahun 2019.

Selain itu, penglibatan aktif dalam program Nescafe UTM juga telah menjadi platform utama bagi dirinya untuk menyerlahkan sikap keusahawanan yang dimiliki setelah memenangi pelbagai jenis pertandingan melalui program berimpak besar ini.

Sering kali mencapai  keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik semenjak dari bangku sekolah lagi, Eileen tidak pernah melihat kelebihan itu sebagai suatu keselesaan , malah ia telah menjadi faktor untuk menaikkan lagi semangat beliau bagi meraih lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.

Kini, beliau telah pun berjaya menceburkan diri ke dalam bidang kerjaya sebenar sebagai seorang projek eksekutif di sebuah syarikat bertempat di Selangor, disamping turut mendedahkan bahawa beliau kini di dalam proses untuk mendapatkan gelaran SR daripada ‘Royal Institution of Surveyor Malaysia (RSIM)’.

Eileen Khiu Xin Ying menunjukkan kedua-dua pingat penghargaan yang diterimanya di Majlis Konvokesyen kali ke-65 UTM, Johor Bahru.

Explore More