April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Yang Berbahagia Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (KPKR), Yang Berbahagia Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman pada 1 Mac 2022.

Turut serta dalam delegasi KPKR ialah pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang terdiri daripada Ir. Haji Badioezaman Ab. Khalik, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur JKR; Ir. Noreha Nordin, Pengarah Khidmat Pakar dan Pengurusan dan Ir. Mohd Shaifuddin Abdul Razak, Jurutera Awam Penguasa Kanan.

Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama strategik antara UTM dan JKR  dalam bidang kejuruteraan forensik yang telah dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 14 Oktober 2021.

Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk membincangkan beberapa isu berkaitan bidang kejuruteraan awam, khususnya kejuruteraan forensik.

Antara isu yang dibincangkan ialah inisiatif data raya (big data), pembangunan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dalam bidang kejuruteraan forensik dan kejuruteraan awam serta pemerkasaan hala tuju kerjasama strategik yang telah dijalinkan ini.

Di samping itu, turut disentuh ialah kepentingan pembelajaran sepanjang hayat untuk pegawai JKR dan UTM dengan menggabungankan elemen akademik dan industri.

Perbincangan ini turut disertai oleh Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM; Prof. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Dekan Fakulti Kejuruteraan; Prof. Ir. Dr Mahmood Md Tahir, Pengarah Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction (ISIIC); Prof. Dr. Norhazilan Md. Noor, Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam; dan Prof. Madya Ts. Dr. Izni Syahrizal Ibrahim, Pengarah Forensic Engineering Centre (FEC).

Selain kunjungan hormat ini, KPKR dan pegawai kanan JKR turut mengadakan lawatan teknikal ke Makmal Kebakaran UTM Construction Research Centre (UTM-CRC).

Makmal ini merupakan makmal kebakaran terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dalam pengujian bahan sampel dengan kapasiti 1000 kN dan mampu mencapai suhu sehingga 1200°C.

Melalui sesi kunjungan hormat dan lawatan ini, UTM dan JKR bukan sahaja saling bertukar maklumat berkenaan keupayaan teknologi terkini serta fasiliti di kedua-dua institusi, tetapi turut mewujudkan sinergi yang akan memberikan sumbangan yang signifikan terhadap perkembangan industri yang berkaitan, selaras dengan keperluan negara.

Explore More