April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM-NSYSU tandatangani MOA untuk Kolaborasi Penyelidikan Bersama di bawah Program Asia Tenggara dan Universiti Taiwan (SATU)

JOHOR BAHRU, 8 Feb.- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan National Sun Yat-Sen University (NSYSU) untuk berkerjasama dalam program penyelidikan.

Memorandum yang telah ditandatangani secara dalam talian ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali bagi pihak UTM dan Pengarah Institusi Kejuruteraan Alam Sekitar, Prof. Dr Chung-Shin Yuan yang mewakili NSYSU.

Majlis menandatangani MOA ini disaksikan oleh Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Prof. Dr. Mohd Ghazali Mohd Nawawi dan Ketua Projek NSYSU, Prof. Dr Ken-Lin Chang.

Prof. Hishamuddin berkata bahawa dengan termeterainya MoA ini menandakan permulaan bagi kerjasama rasmi yang strategik kedua-dua belah pihak dalam aspek penyelidikan dan akademik, pertukaran ilmu pengetahuan dan kepakaran, projek penyelidikan bersama dan akses timbal balik kepada kemudahan penyelidikan.

“UTM dan NSYSU telah mengorak langkah ke hadapan dengan pemeteraian MOA ini dan ia akan menjadi peristiwa penting bagi kedua-dua pihak.

“Kedua-dua pihak juga telah merancang untuk bekerja secara sinergi bagi projek penyelidikan yang bertajuk Hidrolisis Pelarut Eutektik Dalam (DES) terhadap Selulosa yang Terozon kepada Selulosa Nanokristal di bawah Program Asia Tenggara dan Universiti Taiwan (SATU) untuk menggunakan sumber sedia ada.

“Aktiviti ini selaras dengan Rangka Tindak penyelidikan yang telah menjadi agenda penting dalam Pelan Global dan enVision UTM 2025 dan initiatif Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya lagi.

Malaysia dan Taiwan mempunyai sisa biomas dan pertanian yang banyak serta berpotensi mengakibatkan permasalahan alam sekitar yang besar.

Melalui pemprosesan bahan kimia hijau yang berinovasi, kedua-dua pihak sedang menyelidik elemen-elemen pragmatik untuk menukarkan sisa buangan tersebut kepada produk yang mempunyai nilai tinggi yang diperlukan oleh industri,” kata beliau.

MOA tersebut dibuat selepas usul yang dibentangkan kepada SATU melalui permohonan yang dihantar pada April 2021.

SATU telah diasaskan oleh Presiden Chiang Kao daripada National Cheng Kung University (NCKU), Taiwan bersama dengan Presiden-presiden daripada universiti berprestij di Asia Tenggara pada tahun 2003 untuk menyediakan platform bagi para cendekiawan untuk berkongsi pengalaman yang berharga untuk menambah baik kerjasama pendidikan tinggi dan antarabangsa di rantau ini.

Pihak UTM diketuai oleh Ketua Kumpulan Kejuruteraan Tindak Balas Kimia (CREG), Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Nor Aishah Saidina Amin. Manakala pihak NSYSU diketuai oleh Professor Dr Ken-Lin Chang daripada Institusi Kejuruteraan Alam Sekitar.

Projek penyelidikan tersebut akan menumpu ke arah inovasi kaedah pemprosesan kimia hijau untuk menukarkan sisa pertanian kepada selulosa nanokristal. Jangka masa projek ini adalah dalam masa dua tahun dengan hasil yang melibatkan pelajar-pelajar pascasiswazah dan penerbitan bersama antara UTM dan NSYSU.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali (kanan) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan National Sun Yet Sen University (NSYSU) di Bilik Mesyuarat Utama, kampus JOhor Bahru.
Prof. Hishamuddin (tengah) menunjukkan MoA yang telah ditandatangani dengan NSYSU
Delegasi UTM (kiri) dan NSYSU menunjukkan dokumen yang telah ditandatangani sebagai simbolik permulaan kepada kerjasama strategik diantara dua institusi.

Explore More