April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kadar Kebolehpasaran Graduan Tertinggi di Malaysia (97%)

JOHOR  BAHRU, 4 Apr – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terbukti  sentiasa terkehadapan dalam membangunkan negara dengan melahirkan bakat dan tenaga kerja holistik untuk memacu perjalanan ekonomi yang menjadi sumber pendapatan serta kekayaan negara.

Ia berikutan UTM yang telah dilaporkan sebagai universiti awam dengan pencapaian peratus Kebolehpasaran Graduan Universiti Awam (GE) tertinggi bagi tahun 2021 iaitu 97.94%, berdasarkan Kajian Kadar Kebolehpasaran Graduan Universiti Awam (Warganegara) Tahun 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Laporan Kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) Universiti Awam yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi bin Ismail berkata, pencapaian tersebut adalah yang tertinggi dicapai oleh UTM berbanding tahun sebelumnya.

“Pencapaian tersebut seiring dengan misi Universiti untuk menjadi peneraju dalam pembangunan modal insan dan teknologi inovatif demi pengkayaan khazanah negara.

Dapatan daripada kajian ini juga telah membuktikan UTM berjaya menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan yang berkualiti dan kompeten sejajar dengan keperluan majikan.

Dengan Kadar Kebolehpasaran Graduan yang tinggi, UTM akan terus kekal relevan untuk mensejahterakan kehidupan dan menjulang bangsa Kerana Tuhan untuk Manusia.

Ini dapat dilihat menerusi kejayaan cemerlang berdasarkan pencapaian melebihi 85% kebolehpasaran graduan bagi semua Program Akademik UTM 2021 yang ditawarkan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, UTM menjadi salah sebuah Universiti Awam yang menyahut hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan agenda Kebolehpasaran Graduan sebagai agenda utama Universiti.

Pelan enVision 2025 UTM turut meletakkan Kebolehpasaran Graduan sebagai Petunjuk Prestasi Utama yang menekankan kepada Pendapatan Berkualiti dengan Kebolehpasaran Premium, kata beliau.

Menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2021 (SKPG) yang dijalankan ke atas 4,663 graduan semasa UTM tersebut menunjukkan kelompok sasaran ini berjaya mendapat tempat dalam pasaran kerjaya di pelbagai sektor.

Ada di antara mereka ditawarkan bekerja di syarikat dengan pendapatan berkualiti atau premium iaitu melebihi RM 4,000.00.

Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya ChM Dr. Che Rozid Bin Mamat berkata, kejayaan tersebut merupakan  hasil inisiatif Universiti yang komited melalui strategi Kebolehpasaran Graduan dengan menubuhkan pasukan khas iaitu Jawatankuasa Kebolehpasaran Graduan yang dikenali sebagai ‘Rising Above Covid-19 Challenges – Graduate Employability (RACE-GE)’

Dilaksana secara sinergi dengan penglibatan daripada pelbagai pusat tanggungjawab UTM, Pusat Kerjaya (UTMCC) telah diberi tanggungjawab untuk mengemudi taskforce ini bagi tahun 2021.

“Pelbagai inisiatif pengurusan kebolehpasaran graduan di UTM telah dilaksanakan oleh pasukan ini sepanjang tahun 2021, antaranya program pembangunan kerjaya (Talent & Competency Management), mewujudkan kerjasama dengan industri premium, dan mengendalikan Seminar Kebolehpasaran Graduan yang disertai oleh semua Fakulti di UTM.

Bengkel-bengkel berkaitan dengan pendedahan dan keperluan terkini pekerjaan anjuran UTMCC dengan kerjasama rakan-rakan industri.

Program intervensi turut dilaksanakan menerusi program Dana Intervensi GE KPT, PENJANA KPT-CAP & KPT-PACE, program upskilling/reskilling, program pensijilan profesional dan program pemadanan pekerjaan iaitu Job-Matching – UTM Get Hired.

Semakan kurikulum yang diadakan di UTM juga mengambilkira kebolehpasaran graduan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaan sesuatu program akademik, selain enrolmen yang baik dan kurikulumnya.

Ini telah menyumbang kepada keberkesanan setiap program akademik dalam memastikan setiap silibusnya kekal relevan dan graduan yang dilahirkan memenuhi kehendak industri.

UTMCC sangat yakin, sinergi dan komitmen yang diberi oleh semua ahli telah berjaya membantu kebolehpasaran graduan seterusnya melonjakkan nama UTM dalam pencapaian peratus kebolehpasaran graduan yang tertinggi.

Explore More