FSSH Adjunct Professor Lecture Series 12: Pembangunan dan Kebolehkerjaan Bakat Muda

Seramai 188 orang pelajar dan 90 orang staf daripada beberapa buah universiti tempatan telah memperoleh ilmu mengenai persediaan menghadapi alam pekerjaan apabila menyertai program ‘Young Talent Development and Employability’ anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), pada 29 Mac 2022 lalu.

Program yang dianjurkan secara dalam talian ini juga adalah sebagai salah satu usaha yang diambil oleh pihak FSSK bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan UTM.

Seperti yang kita sedia maklum, pasaran buruh siswazah telah mengalami pelbagai perubahan dan transformasi dari segi permintaan terhadap tenaga kerja dan keperluan industri ekoran daripada perubahan iklim kerja, kesan pandemik COVID-19 serta ledakan teknologi yang semakin hebat bagi merealisasikan agenda IR 5.0. Permintaan oleh industri ini memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Oleh itu, hubungan simbiosis universiti dan industri amat signifikan kerana kedua-duanya saling memerlukan. Dalam era Model Baru Ekonomi (MBE), hubungan kedua-dua pihak ini semakin penting apabila negara memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi merapatkan jurang ‘mis-match’ antara kompetensi graduan institusi pendidikan tinggi dan kehendak industri.

Pihak industri juga memainkan peranan yang penting untuk membantu para pelajar dalam pembinaan kemahiran praktikal dan generik yang komprehensif.

Sehubungan itu, siri ceramah daripada profesor adjung dan pihak industri dapat memberi pendedahan awal tentang pembangunan kemahiran oleh bakat muda sebelum mereka menceburkan diri secara aktif dalam pasaran kerja.

Bagi siri ceramah kali, Dr. Mas Idayu Saidi dilantik sebagai moderator dengan dua orang penceramah yang sangat berkaliber dan berpengalaman dalam bidang kerjaya masing-masing dijemput sebagai penceramah jemputan.

Penceramah pertama ialah Datuk Zunaidah Idris yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perancangan strategik, pembangunan perniagaan dan mempunyai lebih daripada 27 tahun pengalaman dalam bidang pelaburan perbankan, dengan tumpuan khusus dalam bidang industri broker saham.

Manakala penceramah kedua ialah Cik Karpana Somasundram yang mempunyai lebih 31 tahun pengalaman kerja di UK dan Asia, dalam industri penapisan minyak sawit dan industri kewangan. 

Minat beliau yang mendalam dalam pemulihan korporat dan PKS dan menambah nilai kepada syarikat untuk menguruskan risiko dan pertumbuhan dalam iklim ekonomi yang mencabar. Kini, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah CBIP Industrial Berhad serta Pengarah Urusan, Medizee Sdn. Bhd.

Melalui ceramah ini, para pelajar dan peserta diberi pendedahan terhadap peranan mereka dalam menghadapi cabaran bagi menyertai pasaran pekerjaan terutamanya pasca pandemik COVID-19. Seterusnya para pelajar dan peserta diharap dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari daripada sesi perkongsian oleh professor adjung dan pihak industri tersebut dalam proses mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian pada masa depan.

Ditulis oleh: Mohamed Ayyub bin Hassan, Mas Idayu binti Saidi, Nur Syafiqah binti A. Rahim, Yusma Fariza binti Yasin, Ruzanna binti Shahrin, Mohammad Saipol bin Mohd Sukor, Ana Haziqah binti A. Rashid dan Amalina binti Ibrahim