Mei 25, 2024

Search
Close this search box.

Sedekad Transformasi UTMKL (2010-2020) Dibukukan Sebagai Dokumen Penting Rujukan Akan Datang

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Proses pembangunan kampus UTM Kuala Lumpur kini boleh dihayati dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Sedekad Transformasi UTM Kuala Lumpur (2010 -2020)’ yang dihasilkan oleh Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama Penerbit UTM Press pada tahun 2010. Buku ini diterbitkan bertujuan untuk mendokumentasikan transformasi kampus UTMKL sepanjang 10 tahun, iaitu dari 2010 sehingga 2020. Usaha pengumpulan maklumat yang berkaitan juga bertujuan menjadikannya sebagai dokumen rujukan penting bagi memastikan sejarah gemilang yang telah dicipta oleh warga UTM terdahulu tidak hilang ditelan zaman.

Walaupun transformasi kampus ini telah bermula sejak awal penubuhannya, usaha yang lebih giat bermula sejak tahun 2010 sehingga mengubah landskap kampus UTM Kuala Lumpur. Penghasilan buku ini menekankan dua aspek utama. Pertama, tumpuan kepada beberapa projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) iaitu pembinaan bangunan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Menara Razak, Scholar’s Inn dan Masjid UTM. Kedua, buku ini mengupas pembangunan Bangunan Residensi UTMKL yang merupakan game changer yang memberi impak positif kepada pembangunan mahasiswa dan warga UTMKL seluruhnya.

Pembangunan kampus ini juga dirancang secara teliti dan strategik mengikut keperluan masa hadapan menggunakan kepakaran warga UTM dalam bidang sains, teknologi, dan kejuruteraan, malah pembangunannya telah diteliti dari pelbagai sudut termasuk pelestarian kampus yang kondusif bagi kegunaan semua pihak. Lokasinya yang strategik juga menjadi kelebihan dan bonus yang tidak ada pada mana-mana institusi lain.

Penghasilan buku ini juga turut disokong oleh temubual bersama tokoh-tokoh UTM yang telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan UTM Kuala Lumpur. Antaranya ialah YBhg. Tan Sri Abdul Halim Ali, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, YBhg. Tan Sri Dato’ Mohd. Ramli bin Kushairi, YBhg. Prof. Dato. Ir. Dr. Wahid bin Omar, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir dan ramai lagi.

Bagi menghargai dan meraikan penerbitan buku ini, satu majlis pelancaran telah diadakan pada 16 Mac 2022 di UTM Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM. Turut hadir majlis tersebut ialah Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Pn. Nik Masriza binti Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan Prof. Emeritus LAr. Dr. Ismawi Zen yang juga merupakan pengulas buku Buku Sedekad Transformasi UTM Kuala Lumpur (2010 -2020) di majlis tersebut. Acara pelancaran ini juga merupakan kesinambungan sambutan 50 Tahun UTM yang disambut pada 14 Mac 2022 di UTM Johor Bahru.

YBhg. Datuk Ahmad Fauzi yakin bahawa buku ini amat sesuai dibaca oleh semua warga UTM sebagai satu rujukan penting.  Ini kerana pembangunan kampus ini setaraf di peringkat global dan boleh dijadikan rujukan kepada individu atau entiti yang berkepentingan dalam bidang pengurusan dan pembangunan institusi tinggi.

YBhg. Datuk juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat atas usaha dan kreativiti sehingga terbitnya buku ini. Beliau berharap agar usaha pendokumentasian dan penerbitan buku ini dapat diteruskan agar dapat dijadikan sumber rujukan generasi akan datang.

Majlis pelancaran buku tersebut juga diserikan dengan ulasan buku oleh Prof. Emeritus LAr. Dr. Ismawi Zen. Beliau merupakan pelajar pertama yang bergraduasi dari Fakulti Alam Bina pada tahun 1978 dan merupakan mantan pensyarah UTM sejak tahun 1982. Beliau berpengalaman luas dalam bidang akademik malah pernah berkhidmat di negara timur tengah khususnya Arab Saudi. Selain itu, beliau amat akrab dengan Allahyarham Tan Sri Ainuddin, Naib Canselor pertama UTM dan beliau telah diminta oleh Allahyarham untuk berpindah ke Johor dan terlibat secara langsung dengan pembangunan UTM Johor Bahru pada 1983. Ketokohan serta pengalaman beliau, pahit getir dalam bersama-sama membangunkan UTM dapat diterjemahkan dalam transformasi yang berlaku sehingga hari ini.

Sebagai makluman buku ini hasilkan oleh sekumpulan penulis dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur yang diketuai oleh Puan Nik Masriza binti Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan disertai oleh Puan Nurrull Huda binti Abdul Wahid, Pn. Sarasyima binti Md. Salleh, Puan Noor Ayesha binti Mohd Ezanee dan Puan Sharifah Radhiah binti Syed Azman.

Sumber: Perpustakaan UTM Kuala Lumpur

Explore More