April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Feb – Pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa memastikan audit akreditasi di bawah status swa-akreditasi dijalankan dengan telus, berintegriti, cekap dan mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta piawaian berkaitan.

Jawatankuasa Akreditasi Universiti (JKAU) yang dianggotai staf akademik berpengalaman dan berkecuali sentiasa memastikan proses penilaian dilaksanakan secara komprehensif kepada setiap proses akreditasi yang dijalankan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata UTM telah dianugerahkan status swaakreditasi pada 29 Mac 2013 seterusnya diberikan pengiktirafan sebagai Universiti SwaAkreditasi yang menggunakan kriteria baharu penilaian yang lebih komprehensif.

“Bagi memastikan graduan universiti terus relevan pada masa hadapan, UTM telah menyediakan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2025 yang dikenali sebagai UTM enVision 2025.

“Pelan strategik ini turut disokong dengan kesinambungan pemantauan oleh pihak Universiti melalui Jawatankuasa Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) UTM terhadap semua prosedur yang terdapat di bawah fungsi utama universiti iaitu Pembelajaran, Pengajaran, Penyelidikan dan Perkhidmatan bagi memastikan Indeks Penilaian Prestasi (KPI) universiti tercapai,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan pada pembukaan Program Sesi Jelajah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Zon Selatan (Johor dan Melaka) yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali.

Prof. Fauzi dalam ucapannya turut menyifatkan kehadiran MQA adalah simbol komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan semua program di IPT Malaysia berakreditasi atau mempunyai Jaminan Kualiti yang diiktiraf.

“Jaminan kualiti ini adalah bertepatan dengan salah satu ikrar Piagam Pelanggan UTM kepada mahasiswa serta keluarga mereka bahawa anak mereka yang menuntut di universiti ini akan memperolehi ‘Kelulusan Akademik’ yang diiktiraf oleh kerajaan dan Badan Profesional serta menepati keperluan industri.

Selain jaminan kualiti yang berterusan, sesi jelajah ini juga dapat memberikan pendedahan awal secara terus dari MQA kepada pihak IPT dan kaedah perbincangan secara dua hal mengikut norma baharu yang diharapkan dapat menyampaikan maklumat terutamanya berkaitan dengan proses baharu Akreditasi dan Jaminan program akademik di IPT,” katanya.

Dalam sesi tersebut, Prof Mohammad Shatar Sabran dan juga timbalannya telah mengadakan Sesi Interaksi bersama Ahli Panel Penilai (APP) Peringkat Zon Selatan. Program ini juga telah dihadiri oleh wakil dari 30 buah IPT Johor dan 16 wakil bagi IPT Melaka.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail memberikan kata aluan sewaktu Sesi Jelajah MQA ke IPT Peringkat Zon Selatan bertempat di UTM Johor Bahru.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran ketika Sesi Interaksi bersama wakil IPT Awam dan Swasta Zon Selatan.

Wakil IPT dari Zon Selatan memberikan maklumbalas ketika sesi interaksi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Explore More