April 19, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi KTHO dan OSHE UTM Realisasi Penyampaian Maklumat Keselamatan Berkesan Kepada Warga KTHO

JOHOR BAHRU, 5 Jan. – Pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia terutama pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk kembali ke kampus secara berfasa.

Sehubungan itu, Biro Keselamatan dan Kesihatan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM telah melaksanakan satu inisiatif dengan menganjurkan OSHE PROGRAMME, sebagai salah satu medium penyampaian maklumat dan pencerahan berkaitan keselamatan dan kesihatan untuk warga KTHO, terutama bagi penghuni yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke dalam kawasan kampus.

Puan Siti Fawziah Mohd Noor dijemput khas sebagai penceramah utama program.

Langkah ini seiring dengan nilai teras UTM iaitu sinergi, yang mana program ini memperlihat sinergi kerjasama erat dan sifat peduli yang tinggi dalam kalangan warga kampus, sekali gus menjadi teras kepada mewujudkan suasana kampus harmoni dan sejahtera.

Di samping itu, program yang dijalankan ini menjadi platform bagi menarik minat pelajar untuk menyertai Rakan Biro Keselamatan dan Kesihatan JKM KTHO. Program yang dijalankan secara dalam talian melalui platform Cisco Webex ini telah menarik peryertaan seramai 80 orang pelajar, dengan fokus utama adalah kepada pelajar tahun satu dan pelajar yang baru pertama kali menetap di dalam kawasan kampus.

Program dimulakan dengan bacaan doa dan kata alu-aluan daripada pengarah program, Nurhakim Shahid bin Mohd Shah yang mengambil kesempatan merakamkan penghargaan terima kasih kepada Pejabat OSHE UTM atas libatsama dalam program ini.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian daripada Puan Siti Fawziah binti Mohd Noor, selaku Pegawai Sains di Pejabat OSHE UTM.

Perkongsian beliau menyentuh tentang bahaya (hazard) dan tindakan yang sepatutnya dilakukan untuk megatasinya. Selain itu, beliau turut menerangkan tentang Pelan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Plan), terutama apabila melibatkan bencana kebakaran yang berlaku di dalam kawasan kampus.

Penerangan latar belakang dan fungsi Pejabat OSHE UTM.

Sepanjang program berlangsung, pelajar dilihat tidak melepaskan peluang dengan bertanyakan soalan mengenai tindakan kecemasan yang perlu diambil sekiranya berlaku perkara-perkara seperti kemalangan jalan raya, kemalangan dalam makmal atau bengkel, di samping kewujudan haiwan-haiwan liar di dalam kampus. Kuiz Kahoot! Turut diadakan di hujung program dan empat pemenang dengan markah tertinggi memenangi hadiah dalam bentuk wang tunai.

Sesi soal jawab yang interaktif antara Puan Siti Fawziah bersama warga KTHO yang hadir.
Sesi kuiz Kahoot! dan para pemenang.

Penganjuran program ini dilihat memberi impak yang positif kepada warga KTHO terutama kepada pelajar yang baru menetap di dalam kampus atau yang bakal memasuki kampus, untuk lebih cakna mengenai bahaya (hazard) yang wujud, di samping mengetahui prosedur operasi standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan bagi mengatasi bahaya (hazard) tersebut.

Malah, penganjuran program ini juga memberi satu cetusan idea kepada Puan Siti Fawziah untuk menggerakkan usaha penubuhan Kelab OSHE UTM, yang mana ia menjadi satu kelab gabungan semua ahli Biro Keselamatan dan Kesihatan JKM kolej-kolej kediaman di UTM, sekali gus menjadi medium berkesan dalam penyampaian maklumat keselamatan dan kesihatan buat warga UTM.

Sesi fotografi di penghujung program.

Disediakan oleh: Nurhakim Shahid bin Mohd Shah (Pengarah Program) dan En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Felow Penyunting KTHO)

Explore More