April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 2 Nov – Seramai 17 mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah (B40) telah menerima bantuan komputer riba sumbangan Jawatankuasa Endowmen Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (FSUTM).

Inisiatif ini membabitkan jumlah sumbangan sebanyak RM49,300.00 yang diperolehi melalui potongan Tabung Endowmen Fakulti Sains dengan kerjasama Unit Endowmen UTM dalam merealisasikan hasrat penyumbang endowmen ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata pihak universiti umumnya dan fakulti khususnya melihat bahawa terdapat keperluan yang signifikan terhadap pemberian bantuan peranti seperti komputer riba kepada golongan yang memerlukan.

“Sebagaimana yang kita semua maklum kesan pendemik COVID-19 telah menyebabkan peningkatan bilangan golongan B40 di dalam masyarakat apabila ada yang kehilangan pekerjaan dan mengalami susut sumber pendapatan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan juga menyebabkan operasi pelbagai sektor terjejas akibat diarahkan untuk tidak beroperasi termasuklah sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada pelajar B40 Fakulti Sains yang berlangsung di Bilik Jamuan, Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru petang tadi.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr Zaiton Abdul Majid dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan Inovasi) Fakulti Sains, Prof. Dr. Suhairul Hashim.

Prof. Shamsul berkata akibat daripada penutupan operasi institusi pendidikan , proses pembalajaran dan pembelajaran (PdP) telah dikendalikan secara maya dan menjadi satu kebiasaan kehidupan baharu dalam sistem pendidikan negara ini.

“Disebabkan fenomena ini, pihak universiti melihat terdapat keperluan yang mendesak untuk memberikan bantuan peranti komputer riba kepada golongan kurang berkemampuan ini yang tidak mempunyai keperluan asas PdP sepertimana yang terdapat di kampus.

“Sehingga 19 Ogos 2021 baki terakhir Tabung Endowmen FS telah mencapai jumlah RM152,390.19 dan daripada jumlah ini sebanyak RM49,300.00 telah dibelanjakan untuk membuat perolehan 17 unit komputer riba ini,”katanya lagi.

Pada akhir ucapannya Prof. Shamsul melahirkan harapan supaya bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pihak fakulti ini dimanfaatkan sebaiknya oleh penerimanya.

“Bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pihak fakulti ini diharap dapat melancarkan proses pengajian pelajar dan dalam masa yang sama membolehkan mahasiswa menumpukan perhatian kepada pengajian dengan lebih berkesan.

Adalah juga diharapkan bantuan ini dapat meringankan bebanan kewangan dan mengelakkan tekanan yang boleh berlaku semasa berhadapan dengan situasi pandemik ini,” katanya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin (dua kanan) menyampaikan bantuan komputer riba kepada salah seorang mahasiswa dari keluarga B40. Turut hadir adalah Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr Zaiton Abdul Majid (paling kanan).

Explore More