April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Nov 2021 – Seramai 14 orang mahasiswa Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah persatuan Institute of Electrical and Electronics Engineers atau IEEE cawangan UTM telah terlibat dalam khidmat komuniti pengindahan sekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Impian Emas (SKTIE).

Program ini dijalankan dengan kerjasama antara IEEE cawangan UTM dengan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SKTIE dengan matlamat utamanya memastikan sekolah dalam keadaan terbaik dan menarik sebelum sesi persekolah bermula pada 8 November ini.

Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE) UTM yang juga merangkap Yang DiPertua PIBG SKTIE, Prof. Madya Ts Dr Jasrul Jamani Jamian berkata matlamat utama program ini adalah untuk memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa universiti ini serta menjalinkan hubungan rapat antara UTM dengan masyarakat luar.

“Dalam tempoh kurang 1 jam, 14 sukarelawan UTM yang terdiri dari pelajar Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Sekolah Kejuruteraan Awam yang diketuai oleh pengerusi IEEE UTM, Muhammad Haiqal Mohd Aminuddin telah membantu pihak PIBG SKTIE untuk mencantikkan semula bangunan sekolah untuk memberikan satu imej positif dan memberikan inspirasi kepada murid yang akan memulakan semula sesi persekolahan pada 8 November ini.

“Selain itu, aktiviti ini turut memberi peluang kepada pelajar UTM untuk mempelajari dan mengasah ilmu kemahiran kendiri  atau ‘soft skills’ seiring dengan matlamat pendidikan universiti,” katanya lagi.

Menurut Dr Jasrul lagi, pasukan sukarelawan UTM ini telah menerima penerangan awal dari Ketua Biro Pembangunan PIBG SKTIE, Abdul Rahman Amir Hussien berkenaan aktiviti yang bakal dijalankan bersama.

“Antara aktiviti yang telah kami lakukan adalah menurunkan poster-poster lama, mengecat laluan masuk ke sekolah dan membetulkan saluran singki berhampiran dengan kelas.

Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, kami amat mengharapkan agar imej sekolah yang segar ini dapat memberikan lebih inspirasi kepada para murid untuk memulakan kembali sesi persekolahan setelah agak lama mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) akibat dari pandemik COVID-19,” katanya lagi.


Dr. Jasrul (paling kanan) memberikan penerangan awal kepada kumpulan sukarelawan UTM berkaitan aktiviti yang akan dijalankan bersama PIBG SKTIE.

Aktiviti mengecat ruang dalam sekolah

Kumpulan pelajar & pensyarah UTM selepas selesai aktiviti CSR

Explore More