UTM & PPZ-MAIWP Mengikat Janji Mengukuhkan Hubungan

Pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah bersetuju untuk mengukuhkan hubungan melalui memorandum perjanjian (MOA) pada hari ini 12 Oktober 2021 bagi menyambung perjanjian kerjasama yang telah dimetarai pada tahun 2018.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail, dan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee selaku Pengerusi, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Ia disaksikan oleh Prof. Dr. Ts. Abd Latif Bin Saleh, Pro Naib Canselor, UTM Kuala Lumpur dan Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP.

Dalam ucapannya, Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi menyatakan penghargaan terhadap komitmen yang diberikan oleh PPZ-MAIWP dalam menjadikan UTM sebagai rakan kerjasama dalam memacu kecemerlangan dan keperluan strategik PPZ-MAIWP.

“Saya berpendirian bahawa Majlis menandatangani MoA ini bukan merupakan penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia berlangsung antara dua organisasi PPZ-MAIWP dan UTM,” kata Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi

“Secara spesifiknya, kerjasama antara UTM dan PPZ-MAIWP ini bermula melalui lantikan sebagai wakil agihan zakat oleh MAIWP mulai tahun 2013 dan diperkukuhkan melalui lantikan UTM sebagai Ejen Kutipan Zakat bagi pihak PPZ-MAIWP berkuat kuasa pada tarikh 12 Disember 2018 sehingga membawa kepada kewujudan Kaunter Kutipan Zakat PPZ-UTM,” ujar beliau

“Bermula daripada tarikh lantikan tersebut sehingga kini, Pusat Islam UTM KL telah berjaya mengutip sebanyak RM 836,092.25 melalui Kaunter Kutipan Zakat PPZ-UTM. InsyaAllah dijangkakan menjelang akhir tahun ini kutipan melalui Kaunter Kutipan Zakat PPZ-UTM akan mencecah RM1.2 juta dengan sasaran kutipan akhir tahun ini sebanyak RM400,000.”

Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi juga menegaskan bahawa UTM amat mengambil berat soal pelaksanaan kewajipan zakat di kalangan staf khususnya melalui institusi pihak berkuasa agama.

“Jumlah keseluruhan caruman staf UTMKL pada tahun 2020 misalnya adalah sebanyak RM 874,112. Alhamdulillah melalui konsep al-wakalah, pihak MAIWP telah mengembalikan sebanyak RM437,056 iaitu 50% daripada jumlah zakat yang dibayar itu kepada UTM, khususnya Pusat Islam untuk tujuan agihan kepada asnaf. Kaedah ini amat bermakna dan bermanfaat buat kami dalam melaksanakan kebajikan untuk staf dan pelajar,” ujar Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi

Dalam ucapan balasnya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyatakan pengahrgaan atas kerjasama yang diberikan oleh UTM. Beliau menegaskan bahawa pihak PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai insentif bagi mendorong umat Islam menunaikan kewajipan ber zakat.

Majlis yang ringkas tapi bermakna itu disempurnakan secara atas talian. Bagi yang sudi mengikuti siaran langsung Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara Universiti Teknologi Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) anda boleh ikuti melalui pautan berikut: https://www.facebook.com/Pusat-Pungutan-Zakat-PPZ-UTMKL-102964568444938

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Penolong Pengarah
Pusat Islam
UTMKL

Image
Image