MBIP sumbang RM168,000 jayakan 14 projek Rendah Karbon Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI, 26 Okt – Sebanyak RM168,000.00 telah diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi menjayakan 14 projek penyelidikan komuniti rendah karbon.

Dana penyelidikan yang dinamakan sebagai Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 ini diberikan di bawah jalinan kerjasama lingkaran empat (quadruple helix) antara MBIP dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment).

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata program Iskandar Puteri Rendah Karbon merupakan usaha induk pihak berkuasa tempatan ini bersama rakan strategiknya bagi menghargai usaha amalan rendah karbon dalam kalangan masyarakat di kawasan tanggungjawapnya.

“Program ini bergerak selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025 sekali gus menterjemah strategi teras Kelestarian Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Pemberian Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk membimbing, menggalak dan mengembangkan usaha komuniti membudayakan amalan rendah karbon di kawasan Iskandar Puteri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kalendar Iskandar Puteri Rendah Karbon sempena Sesi Libat Urus Menteri Besar Johor bersama Kepimpinan Daerah Johor Bahru di Hutan Bandar Mutiara Rini pada 18 Oktober 2021.

Sebanyak 64 permohonan telah diterima dan disaring kepada 14 projek komuniti rendah karbon yang bernilai antara RM7,000 hingga RM15,000 dengan berteraskan empat komponen utama, iaitu kesukarelawanan dan penglibatan komuniti, pendidikan kesedaran awam dan gaya hidup sihat, infrakstruktur hijau serta pengurusan sisa mampan.

Seramai 50,932 orang penduduk di kawasan bandar raya Iskandar Puteri di bawah kategori kediaman bertanah dan bertingkat serta institusi telah menjayakan Pertandingan Kalendar Iskandar Puteri Rendah Karbon 2021 pada tahun ini menerusi usaha penjimatan air, elektrik dan pelaksanaan aktiviti kitar semula di premis masing-masing bermula bulan Januari hingga Julai 2021.

Antara penyelidik dari UTM yang dikurniakan geran ini adalah Dr Nor Alafiza Yunus dan Dr Yong Ea Ling (Fakulti Kejuruteraan), Dr Hanifah Jambari (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan), Ts. Dr Syamsul Hendra Mahmud, Sr Dr Azizah Ismail dan Dr Norhidayah Md Yunus dari Fakulti Alam Bina dan Ukur.

YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad (dua kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM12,000.00 kepada salah seorang penerima Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 sempena program Sesi Libat Urus Menteri Besar Johor bersama kepimpinan daerah Johor Bahru 2022 yang berlangsung di Hutan Bandar Mutiara Rini pada 18 Oktober 2021.
YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad (dua kiri) melawat gerai pameran milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada program Sesi Libat Urus Menteri Besar Johor bersama kepimpinan daerah Johor Bahru 2022 yang berlangsung di Hutan Bandar Mutiara Rini, Skudai 18 Oktober 2021 lalu.

Penutupan Sementara Portal News UTM

Untuk makluman, penghantaran artikel atau berita baharu ke portal news.utm.my akan ditutup sementara bermula 15 Disember hingga 31 Disember untuk tujuan editorial akhir dan pelarasan berita 2021.

Oleh itu untuk tujuan penghantaran artikel/berita, dimohon untuk memuat naik selewat-lewatnya 14 Disember 2021. Artikel / Berita yang dihantar selepas tarikh tersebut akan diterbitkan pada tahun 2022 setelah selesai proses editorial akhir dan pelarasan berita.

Sekian untuk makluman