April 26, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu @ Dr. Hussin dan Nor Hasniza Binti Ibrahim

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadikan bulan Ogos sebagai bulan penyelidikan di fakulti. Sepanjang bulan ini beberapa program disusun dengan matlamat untuk memberi latihan dan sokongan kepada penyelidik FSSH berkaitan penerbitan, penyelidikan, komersialisasi dan libatsama komuniti.

Dalam masa yang sama, aktiviti yang dijalankan adalah bagi merancakkan aktiviti penyelidikan, penerbitan dan komersialisasi di FSSH. 

Bulan penyelidikan ini dijalankan adalah bagi mencapai inisiatif fakulti dalam High Impact Project (HIP) FSSH iaitu FSSH-ARISE. Inisiatif HIP ini memfokuskan kepada peningkatan aktiviti Penyelidikan, Inovasi, dan Libatsama Komuniti.

Usaha yang dijalankan ini adalah bagi menyokong keperluan Universiti dalam memperkasa UTM sebagai Universiti Penyelidikan terbaik di Malaysia serta memastikan ekosistem penyelidikan di UTM dapat diperkasa sekaligus menghasilkan output yang terbaik kepada semua staf dan juga kepada UTM umumnya.

Ini selari dengan Objektif Strategik dalam RDCI Blueprint Initiatives yang menekankan tentang aspek kecemerlangan penyelidikan dan membina ekosistem penyelidikan dalam kalangan staf.

Sepanjang bulan penyelidikan ini, pensyarah digalakkan memfokuskan kepada aktiviti penyelidikan melalui kumpulan penyelidikan (RG) masing-masing disamping menyertai program-program yang disusun oleh Fakutli sepanjang bulan ini.  Antara program yang dirancang termasuk menjemput pakar dan penyelidik dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan daripada luar UTM untuk berkongsi kepakaran dan pandangan mengenai arah tuju penyelidikan dan penerbitan khususnya dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Fakulti turut menganjurkan pertandingan menulis esei dan juga pertandingan Penyelidikan dan Inovasi yang melibatkan pelajar dan pensyarah untuk mengenengahkan hasil penyelidikan masing-masing. 

Perasmian Bulan Penyelidikan

Sebagai pembukaan rasmi kepada aktiviti bulan penyelidikan, majlis perasmian telah disempurnakan pada 2 Ogos 2021 oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTM, Prof Dr. Rosli Md Illias. Dalam ucapan perasmian, beliau turut melahirkan rasa teruja dengan aktiviti Bulan Penyelidikan yang dilaksanakan kerana sangat bertepatan dengan Blueprint RDCI dan enVision 2025 yang telah digariskan dan dimaktubkan dalam perancangan masa depan universiti.

Sejurus selepas perasmian,  YBhg. Prof. Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim, ketua kluster penyelidikan “Societal Harmony and Happiness” daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang juga merupakan pengarah penerbit Univesiti Kebangsaan Malaysia telah diundang untuk berkongsi syarahan bertajuk Navigating Research In Social Science and Humanities: Lessons for A Post Covid Era.

Syarahan yang disampaikan oleh beliau menepati kehendak dan suasana semasa yang memerlukan kajian-kajian dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan yang mampu memberi penyelesaian kepada masyarakat umum dan sumbangan kepada akademik terutamanya dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Majlis Perasmian Bulan Penyelidikan FSSH
Sesi Ceramah Undangan oleh Prof. Datin Ruzy Suliza Hashim

FSSH berperanan penting dalam memperkasa aktiviti penyelidikan dan penerbitan di UTM. Penerbitan buku umpamanya menjadi kekuatan kepada FSSH. Melalui penerbitan karya-karya asli ini dapat mencambah pemikiran dalam bidang akademik serta memberikan impak kepada masyarakat di luar.

Bersempena dengan perasmian bulan penyelidikan ini juga, fakulti telah melancarkan buku-buku yang diterbitkan oleh pensyarah FSSH sepanjang tahun 2021 dan sebahagian penerbitan buku bagi tahun 2020. Bagi mempromosikan buku-buku yang diterbitkan tersebut, sesi bicara buku turut diadakan pada hari Ahad sepanjang bulan penyelidikan ini.

Video pelancaran buku-buku terbitan pensyarah FSSH boleh diperolehi di https://www.facebook.com/fsshresearchmonth/videos/857897608183066

Dengan adanya program-program yang disusun sepanjang bulan penyelidikan ini, diharap ia dapat memberikan momentum kepada staf akademik di FSSH untuk memberikan fokus kepada penghasilan penyelidikan yang berkualiti dan berinovasi. 

Untuk mengikuti segala rakaman dan aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan penyelidikan, penganjur menyediakan Facebook Page khas untuk bulan penyelidikan ini. Ia boleh dilayari di: https://www.facebook.com/fsshresearchmonth.

Explore More