April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Ogos – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IPT Integrasi-Universiti Teknologi Malaysia (PPVUTM) yang telah beroperasi sejak 19 Julai lalu berkeupayaan memberikan perkhidmatan pemberian vaksin sehingga 1,500 individu sehari.

Sehingga semalam, seramai 19,424 warga Johor Bahru dan Kulai telah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di PPV Integrasi IPT UTM Johor Bahru.

Penerima vaksin ini merupakan pengguna aplikasi MySejahtera yang telah didaftarkan dan ditetapkan temujanji mereka di UTM melalui aplikasi tersebut.

PPV yang dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 malam ini dikendalikan oleh seramai 146 orang petugas dari pelbagai agensi dan sukarelawan dalam kalangan pelajar UTM.

Pengarah Pusat Kesihatan UTM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPVUTM, Dr Nor’ashikin Sharif berkata pusat ini memberikan perkhidmatan menyuntik vaksin COVID-19 kepada penduduk daerah Johor Bahru dan Kulai.

“Praktis ini akan mempercepatkan lagi sasaran kerajaan kearah mewujudkan Imuniti Kelompok atau ‘Herd Immunity’ sepertimana yang disasarkan.

Dasar Imuniti Kelompok ini amat penting dalam menjayakan usaha kerajaan untuk memastikan pandemik COVID-19 di negara ini terkawal sekaligus mengembalikan kestabilan kehidupan awam” katanya lagi.

PPVUTM ini diletakkan di bawah pemantauan Covid-19 Immunisation Taskforce (CITF) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor dengan kerjasama antara Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPV UTM yang diwakili oleh pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam UTM, Pejabat Daerah Kulai, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dan Protect Health Sdn Bhd.

Sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) dicadangkan untuk dibuka menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 45 PPV IPT beroperasi pada masa akan datang.

Explore More