April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Julai – Menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan sahaja merupakan sebuah pengalaman berharga namun turut boleh membentuk kendiri seorang mahasiswa tersebut.

Ketua Sukarelawan PPV Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd Affifudin Abdul Patar berkata selain memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara, penyertaan sebagai sukarelawan PPV ini juga mampu mengasah kemahiran kendiri seseorang mahasiswa itu.

“Sepertimana diketahui umum, kemahiran kendiri kini menjadi penentu seseorang graduan itu untuk mendapat pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian.

Di PPV IPT Integrasi UTM contohnya, sukarelawan bertugas terpaksa berhadapan dengan bermacam karenah masyarakat yang datang. 

Keadaan ini menjadi peluang terbaik bagi seseorang mahasiswa itu untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sekaligus mengasah bakat kemahiran kendiri yang ada dalam dirinya,” kata beliau.

Menurut beliau, penyertaan sebagai sukarelawan ini juga penting bagi membolehkan PPV yang dibuka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Golongan mahasiswa juga boleh menganggap bahawa penyertaan sebagai sukarelawan ini adalah satu cara menaburkan bakti kepada masyarakat sekeliling sepertimana yang dilakukan ketika menyertai sesi khidmat komuniti anjuran universiti masing-masing, ” kata beliau.

Menurut Mohd Affifudin lagi, komuniti mahasiswa digesa untuk membuang persepsi negatif dan mendaftar sebagai sukarelawan yang berkhidmat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka di universiti masing-masing.

“Seharusnya persepsi menjadi sukarelawan di PPV senang dijangkiti COVID-19 tidak patut timbul dalam kalangan mahasiswa.

Persepsi ini tidak seharusnya timbul kerana sebagai sukarelawan di PPV, kebajikan mereka terjaga dan sekiranya belum divaksin maka keutamaan akan diberikan bagi mendapatkan suntikan ubat ini, “kata beliau.

Penuntut Ijazah Kedoktoran (PhD) ini berkata demikian sewaktu diwawancara di PPV IPT Integrasi UTM bertempat di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM kampus Johor Bahru.

Beliau kini berada dalam semester kedua dan menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan UTM.

Seramai 87 orang mahasiswa di pelbagai peringkat pengajian kini bertugas sebagai sukarelawan di PPV IPT Integrasi UTM dengan waktu penugasan ini dibahagikan kepada dua shif iaitu 7.30 pagi hingga 3.00 petang dan jam 2.00 petang hingga 10.00 malam.

“Selain diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin, golongan ini juga layak mendapat imbuhan dalam bentuk wang ringgit apabila menerima bayaran RM50.00 untuk setiap shif mereka bertugas,” katanya lagi.

PPV IPT Integrasi UTM ini mula dibuka pada 19 Julai lepas dari jam 8.00 pagi hingga 9.00 malam dengan kapasiti suntikan mencecah 1,500 orang sehari

Mohd Affifudin Abdul Patar berkata seharusnya tiada tanggapan negatif mudah dijangkiti virus COVID-19 jika bertugas sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin universiti.

Mohd Affifudin membantu seorang sukarelawan di PPVUTM yang menerima pendaftaran pengunjung yang datang bagi menerima suntikan vaksin.

Explore More