April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 6 Julai — Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara telah menerbitkan suatu permasalahan dalam aspek pengurusan sisa pepejal dan organik memandangkan majoriti rakyat Malaysia berada di kediaman masing-masing.

Mengambil kira keadaan dan situasi semasa, Kompleks Biorefineri, Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan satu sesi webinar bertajuk ‘Isu dan Cabaran Pengurusan Sisa Pepejal Norma Baharu Pasca Pandemik Covid-19 di Malaysia’.

Sesi webinar ini turut menampilkan Dr. Norahim bin Ibrahim sebagai antara barisan ahli panel. Dr. Norahim yang juga Pengetua Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dan Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM mengkhususkan dan memberi penekanan pembentangan beliau mengenai ‘Ke Arah Norma Baharu Pelupusan Sisa Organik Melalui Kaedah Pengkomposan di Rumah’.

Pembentangan Dr. Norahim menjurus kepada kaedah pengkomposan yang mudah dibuat di rumah, dengan menggunakan sisa-sisa organik yang sememangnya menjadi bahan masakan harian kita seperti sisa buah-buahan, sayur-sayuran, kulit bawang, perut ikan, dan kulit telur.

Menurut beliau, bahan-bahan tersebut sepatutnya dimanfaatkan dan tidak dibuang begitu sahaja. Antara cara memanfaatkan bahan-bahan tersebuat adalah dengan memprosesnya untuk dijadikan sebagai mol atau baja peram. Baja peram yang telah diproses kaya dengan mikroorganisme, nutrien, asid humik, protein dan hormon semulajadi sekaligus amat menbantu dalam pertumbuhan tanaman tanpa penggunaan baja kimia.

Selain baja peram, Dr. Norahim turut menyentuh kaedah pengkomposan dengan menggunakan serbuk bokashi.

Campuran serbuk bokashi bersama bahan-bahan sisa organik dari dapur domestik akan menggalakkan kehadiran mikrob menerusi proses penapaian sekaligus menjadikan campuran berkenaan sangat sesuai untuk dijadikan baja kepada tanaman. Kedua-dua teknik pengkomposan ini (mol/baja peram dan pengkomposan bokashi) sememangnya dilihat sesuai untuk dipraktikkan kepada isi-isi rumah di seluruh negara demi mengatasi peningkatan penghasilan sisa pepejal dan organik.

Sememangnya pengurusan sisa pepejal dan organik yang sistematik amat diperlukan dalam memastikan pengurangan sisa pepejal dan organik di tapak pelupusan sampah dapat direalisasikan di seluruh negara demi menjamin kelestarian alam sekitar.

Oleh sebab itu, sesi perkongsian ilmu oleh Dr, Norahim bin Ibrahim , selaku antara pakar rujuk pengkomposan di UTM perlu diteliti dan dilihat dengan lebih serius oleh agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam merealisasikan impian untuk Malaysia menjadi negara hijau dan lestari di masa akan datang.

Explore More