‘Light of Hope’ Anjuran UTM & Yayasan Kebajikan Negara Semai Empati dan Santuni Gelandangan

Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) di bawah Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan sebuah program yang bertajuk ‘Light of Hope’ dengan kerjasama pihak Anjung Singgah Johor Bahru Yayasan Kebajikan Negara.

Program ini terbuka kepada setiap lapisan masyarakat dan secara umumnya kepada mahasiswa UTM.

Ia adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada setiap individu tentang betapa pentingnya peranan mereka dalam membantu golongan ‘homeless’ atau disebut sebagai rakan jalanan dari segi kewangan, barangan dan sokongan moral.

Selaras dengan misi KLM itu sendiri iaitu kesukarelawanan, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat dalam diri individu untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan.

Pada mulanya, pihak pelaksana program bercadang untuk menganjurkan aktiviti secara langsung bersama rakan jalanan selama sehari. Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh pihak pelaksana.

Namun, akibat penularan COVID-19, program terpaksa dijalankan secara dalam talian dan segala aktiviti yang telah dirancang perlu diubah mengikut keadaan semasa.

Pihak pelaksana program telah menganjurkan kempen kesedaran secara dalam talian bermula dari 20 April 2021 hingga 11 Mei 2021.

Pihak penganjur program telah memuat naik poster yang bertemakan kesedaran terhadap golongan ‘homeless’ menggunakan platform ‘Instagram’ di akaun rasmi Kelab Lambaian Masyarakat.

Variasi poster telah dimuat naik oleh pihak pelaksana program pada setiap hari selama sebulan tempoh kempen kesedaran tersebut berlangsung.

Poster yang direkabentuk secara kreatif telah dapat menarik minat individu untuk membaca maklumat yang disertakan bersama poster dengan lebih lanjut seterusnya mewujudkan sikap prihatin dan sifat mengambil berat dalam diri terhadap komuniti rakan jalanan.

Di samping itu, kempen kesedaran ini juga mensasarkan sumbangan kepada mana-mana pihak yang sudi untuk bersama-sama turut serta dalam memberi serba sedikit kepada golongan rakan jalanan ini.

Sebanyak RM 1086.69 telah berjaya dikumpul sepanjang tempoh kempen kesedaran itu berlaku.

Hasil sumbangan yang dikumpulkan telah digunakan untuk menyediakan 100 set kit kebersihan yang terdiri dari pelitup muka, sabun, mask extender, beg kedap udara, pad alkohol, plaster dan pembersih tangan untuk disumbangkan kepada penguin Anjung Singgah Johor Bahru.

Peserta program juga telah bekerjasama membungkus kit kebersihan tersebut sebelum diserahkan kepada wakil Anjung Singgah.

Selain itu, pihak pelaksana program juga telah menganjurkan dua kategori pertandingan iaitu mereka bentuk poster dan menyunting video kesedaran terhadap komuniti rakan jalanan.

Pertandingan tersebut telah mendapat sambutan yang agak baik dari mahasiswa UTM. Pemenang bagi kedua-dua pertandingan telah diumumkan pada majlis penutupan program melalui tayangan montaj yang telah ditayangkan.

Pada 25 Mei 2021, majlis penutupan program ‘Light of Hope’ telah diadakan secara atas talian menggunakan medium Google Meet.

Majlis penutupan ini telah dirasmikan oleh wakil Pengetua Kolej Tuanku Canselor iaitu Dr Amirjan bin Nawabjan. Cik Nurul Zahrawaini binti Mohd Nordan  selaku Pengarah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Selatan juga telah dijembut bersama-sama dalam majlis tersebut.  Turut hadir memeriahkan majlis penutupan tersebut ialah penasihat Kelab Lambaian Masyarakat Dr Fatin Afiqah binti Md. Azmi, felow penasihat program iaitu Pn Rafidah binti Mohamad dan Pembantu Felow, Cik Siti Nur Aisyah binti Mohd Sharan.

Dalam ucapan Cik Nurul Zahrawaini beliau telah menekankan tentang pentingnya peranan setiap lapisan masyarakat dalam mengambil berat terhadap komuniti rakan jalanan yang semakin lama semakin dilupakan. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pengarah program kerana sudi menjalinkan kerjasama bersama pihak beliau dan berharap program akan dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Dr Amirjan telah merasmikan majlis penutupan program ‘Light of Hope’ dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Cik Nurul Zahrawaini kerana sudi bersama-sama dalam menjayakan program ini.

Program ini telah mendapat sambutan yang baik dan besar harapan dari pihak pelaksana program agar masyarakat khususnya mahasiswa mendapat kesedaran terhadap komuniti rakan jalanan ini dan meneruskan usaha untuk mebantu serba sedikit mengikut kemampuan masing-masing. Diharapkan program seperti ini dapat dijalankan secara berkala agar komuniti rakan jalanan ini sentiasa merasai kehadiran sokongan moral dan bantuan masyarakat terhadap mereka. Seperti kata petikan dari salah satu poster kesedaran yang telah dimuat naik, ‘membantu seseorang mungkin tidak akan mengubah dunia, tetapi dunia seseorang boleh diubah dengan bantuan yang dihulurkan”.

Disediakan oleh: Siti Nur Aisyah binti Mohd Sharan, Muhammad Rafiq bin Mohd Zulkefli, Rafidah binti Mohamad, Fatin Afiqah binti Md. Azmi