April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 April – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) dengan kerjasama ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. beserta sokongan dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM telah berjaya melaksanakan program Dapur KTHO Berasap 2021 (DESAP ‘21).

Matlamat utama program adalah untuk menyantuni 500 mahasiswa B40 UTM dengan pemberian juadah iftar sekaligus mengurangkan beban perbelanjaan mereka terutama dalam bulan Ramadan ini.

Di pihak ADABI pula, program ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka iaitu ‘Hajat Ramadan ADABI’ yang saban tahun dilaksanakan dengan menjelajah seluruh pelusuk tanah air.

Dalam usaha untuk menjayakan DESAP ‘21, jawatankuasa pelaksana program telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM3,000 melalui sumbangan persendirian, terutama yang datang daripada alumni UTM yang pernah menjadi warga KTHO, di samping sumbangan yang diperoleh daripada platform crowdfunding seperti kitafund.

Di samping itu, pihak ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. selaku rakan kerjasama strategik program ini telah bermurah hati menaja hadiah-hadiah berupa produk keluaran ADABI untuk aktiviti-aktiviti yang berlangsung sepanjang DESAP ‘21.

Proses penyediaan bahan-bahan untuk menu iftar dilaksanakan secara gotong-royong melibatkan warga KTHO bersama-sama staf ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd.

Proses penyediaan bahan-bahan untuk menu iftar telah dilaksanakan secara gotong-royong bermula seawal 6.45 pagi, dengan keterlibatan daripada para sukarelawan yang terdiri daripada JKM KTHO, mahasiswa dan mahasiswi KTHO.

Turut tidak ketinggalan adalah barisan Majlis Felow Merbauan (MAFAN) yang turut turun padang bersama-sama mahasiswa dan mahasiswi sekaligus melancarkan lagi proses rewang.

Delegasi ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. seramai 15 orang tiba di KTHO pada pukul 10.00 pagi dengan diketuai oleh En. Zainuddin Salleh, Pengurus Besar Produk Optima Sdn. Bhd. dan Chef Mohd Irwan Mohd Nor, Chef Eksekutif ADABI.

Selepas sesi perkenalan ringkas antara barisan sukarelawan KTHO dan delegasi ADABI, Chef Mohd Irwan memberikan taklimat ringkas mengenai proses penyediaan menu iftar iaitu nasi tomato.

Sinergi antara sukarelawan KTHO dan delegasi ADABI semasa proses memasak dilihat semakin melancarkan proses penyediaan pek iftar untuk mahasiswa pada hari tersebut.

Turut memeriahkan sesi ‘Sehari Bersama ADABI’ ialah Dr. Norahim Ibrahim, Pengetua KTHO (kiri), En. Zainuddin Salleh, Pengurus Besar Produk Optima Sdn. Bhd. (tengah) dan Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib, Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar (kanan) selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM.

Aktiviti pada selepas Zohor pula dimeriahkan dengan sesi ‘Sehari Bersama ADABI’ iaitu demonstrasi memasak dengan menggunakan produk-produk keluaran ADABI.

Sesi ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform FB Live bagi memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi UTM yang tidak berkesempatan berada di lokasi untuk turut sama mengikuti demonstrasi tersebut.

Demonstrasi ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti tanah air iaitu Ronnie Hussein dan Ayu Damit, sekaligus menjadikan suasana di Dewan Seri Merbau bertambah gamat dengan celoteh dan gelagat mereka.

Turut hadir sama ialah Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib, Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dr. Norahim Ibrahim, Pengetua KTHO dan En. Zainuddin Salleh, Pengurus Besar Produk Optima Sdn. Bhd. Sesi pada petang itu turut mendapat liputan media dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Thinker Studios.

Sesi demonstrasi masakan menggunakan produk ADABI gamat dengan telatah Chef Mohd Irwan Mohd Nor, Chef Eksekutif ADABI, ditambah dengan kehadiran selebriti duta ADABI, Ronnie Hussein dan Ayu Damit.
Para sukarelawan bertungkus-lumus menyiapkan pembungkusan makanan iftar untuk 500 mahasiswa B40 UTM.
Mahasiswa UTM sabar menunggu untuk mendapatkan pek iftar di samping terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.
Ayu Damit turut turun padang mengedarkan pek iftar kepada pelajar UTM.
Ronnie Hussein turut terlibat membantu dalam proses pengedaran pek iftar kepada mahasiswa UTM.

Bermula jam 4.30 petang, para sukarelawan dan delegasi ADABI telah mula bersiap sedia untuk proses pembahagian pek iftar kepada 500 mahasiswa B40 UTM.

Mahasiswa mahasiswi UTM yang hadir untuk mengambil pek iftar dilihat sabar beratur dan terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Prof. Madya Dr. Azlan, Dr. Norahim, En. Zainuddin, Ronnie Hussein dan Ayu Damit turut sama turun padang di Dewan Tun Hussein Onn (DTHO) untuk mengedarkan pek iftar kepada mahasiswa dan mahasiswi UTM. Perjalanan pembahagian pek iftar dilihat berjalan lancar hasil kerjasama padu jawatankuasana pelaksana DESAP ‘21, sukarelawan dan delegasi ADABI. 

Menurut Pengarah Program, saudara Muhammad Haikal Othman, penganjuran DESAP ‘21 dilihat berjaya memenuhi objektif utama program dalam usaha untuk meringankan sedikit perbelanjaan mahasiswa UTM sepanjang tempoh bulan Ramadan.

Tambahan pula, sinergi bersama ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. dalam pelaksanaan program dilihat melancarkan lagi usaha keras jawatankuasa pelaksana yang sudah pun mula merancang program ini semenjak November 2020.

Sementara itu, Pengurus Besar Produk Optima Sdn. Bhd, En. Zainuddin Salleh menyatakan hasrat untuk terus berkolaborasi dengan KTHO pada tahun akan datang dengan penglibatan yang lebih meriah dan berskala besar.

Explore More