Kelab Pemadam UTM Cungkil Bakat Mahasiswa Melalui Pertandingan Video Bebas Dadah

Pada tanggal 9 Mac 2021 sehingga 20 April 2021, Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM bersama Pusat Kaunseling UTM telah menganjurkan Pertandingan Video Pendek Three Minutes Messages atau singkatan program ini R.I.S.E dengan kerjasama PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan. Program ini dimulakan pada 27 Mac 2021 dengan taklimat serta bimbingan video grafik daripada panel jemputan En. Faridz Alwi Bin Mohd Bakri yang juga merupakan Pemenang Utama Mereka Bentuk Video Pendek anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia. Taklimat tersebut mendapat sambutan dengan penyertaan seramai 12 individu dan seterusnya diteruskan dengan tempoh penghantaran hasil karya video R.I.S.E sehingga 9 April.Tujuan R.I.S.E ini dianjurkan merupakan  satu medium pendedahan langkah – langkah yang efektif  bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kalangan mahasiswa IPT di seluruh Malaysia.

Melalui pertandingan ini, Ia juga dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa serta dapat mengelakkan penglibatan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan mahasiswa melalui penghasilan karya – karya yang kreatif lagi efektif.Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM, mengambil langkah untuk menggunakan video pendek sebagai medium perantaraan menyampaikan mesej kepada mahasiswa/i kerana pada era kini, video pendek lebih menarik minat pelajar dengan kreativiti yang dipamerkan. Program ini juga menyediakan satu medium kolaborasi antara Kelab PEMADAM UTM dan Pusat Kaunseling serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia bagi mendedahkan isu – isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan mahasiswa yang bertemakan ke arah “Generasi Sifar Dadah”.

Tangkapan skrin: Kelas taklimat bimbingan yang diketuai oleh Ketua Juri Pertandingan Three Minutes Messages (R.I.S.E) Encik Faridz Alwi Bin Mohd Bakri.

Program ini berjaya mengumpulkan 9 karya daripada peserta pertandingan. Seramai 6 orang pemenang telah dipilih daripada 9 karya tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM660 berserta sijil dan merit UTM disediakan bagi kesemua peserta. Dengan program R.I.S.E ini diharapkan kita bersama-sama dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran akan kemaslahatan serta membanteras penyalahgunaan dadah yang semakin pesat dalam kalangan belia di Malaysia sama ada dalam kalangan ahli Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM, mahasiswa UTM mahupun mahasiswa IPT di seluruh Malaysia.

Tangkapan skrin Video Pendek Three Minutes Messages bagi peserta Nor Afikah Binti Adbul Khalil merangkul Johan dalam Pertandingan Video Three Minutes (R.I.S.E)

Pertandingan video ini mempraktikkan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa yang mampu melahirkan generasi mahasiswa yang berpotensi dalam aktiviti yang berfaedah lantas mengelakkan mahasiswa daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Selain itu, program in mewujudkan jaringan kerja bersepadu antara Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM, Pusat Kaunseling dan IPT di seluruh Malaysia dalam menjayakan usaha yang berkesan bagi mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan mahasiswa. Dengan ini, kami berharap agar perlaksanaan pertandingan ini mampu memberi impak positif yang besar dan menjurus percambahan idea bagi ahli Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM untuk melaksanakan program – program yang lebih efektif kelak dan melahirkan mahasiswa sifar dadah serta berdaya saing dalam semua bidang.