April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Apr. – Penganjuran program Dapur KTHO Berasap 2021 (DESAP ’21) diambil peluang sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) untuk mengaplikasikan pengetahuan berkaitan kelestarian, yang mana pengetahuan tersebut telah pun dipelajari dan dikutip sepanjang tempoh lima minggu pelaksanaan projek fasa awal ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ sejak 13 Mac 2021.

Menyedari hakikat bahawa aktiviti penyediaan makanan iftar untuk DESAP ’21 akan menghasilkan kuantiti signifikan sisa makanan seperti lebihan sayur-sayuran, kulit bawang, kerak nasi dan air basuhan beras, maka JKM KTHO dengan sokongan penuh ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. mengambil inisiatif dengan memanfaatkan sisa-sisa tersebut untuk dijadikan baja kompos dengan menggunakan teknik rawatan bokashi.

Lebihan sayur-sayuran yang tidak digunakan dalam masakan dikumpul untuk dijadikan baja kompos
Air basuhan beras dimasukkan di dalam tong untuk proses penapaian bagi penghasilan baja.
Saudara Muhammad Haikal Othman, Pengarah Program DESAP ’21 bersama barisan sukarelawan menaburkan serbuk bokashi ke dalam tong yang mengandungi lapisan sisa sayur-sayuran, kulit bawang dan kerak nasi untuk dijadikan baja kompos.
Penggunaan disposable paper lunch box untuk pembungkusan iftar dalam DESAP ’21 bagi menggantikan penggunaan bekas plastik.
Hebahan kempen Green Ramadan oleh pihak UTM Kampus Lestari (UTM CS).

Inisiatif pengurusan sisa daripada lebihan proses penyediaan makanan semasa program DESAP ’21 sememangnya menepati hasrat UTM menerusi UTM Kampus Lestari (UTM CS) yang menggalakkan pihak pengurusan kolej kediaman untuk menitik beratkan pengurusan sisa yang sistematik demi mengekalkan kelestarian kampus.

Di samping itu, inisiatif jawatankuasa pelaksana DESAP ’21 yang menggunakan disposable paper lunch box untuk pembungkusan iftar bagi menggantikan penggunaan bekas plastik menepati matlamat kempen Green Ramadan anjuran UTM CS, di mana kempen tersebut memberi penekanan untuk warga UTM mengelakkan sama sekali penggunaan bekas plastik bagi tujuan pembungkusan makanan untuk iftar dan sahur.

Menurut En. Zainuddin Salleh, Pengurus Besar Produk Optima Sdn. Bhd., inisiatif UTM terutama warga KTHO menerusi projek ‘KTHO Waste to Wealth Hub’ ini sememangnya perlu dicontohi demi mengekalkan kelestarian alam sekitar. Tambah En. Zainuddin, ADABI Consumer Industries Sdn. Bhd. sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap projek-projek seperti ini, dengan harapan kepakaran UTM dapat dibawa dan ditonjolkan kepada masyarakat di luar kampus dalam usaha untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan mengekalkan kelestarian alam sekitar. Sementara itu, saudara Muhammad Haikal Othman, Pengarah Program DESAP ’21 memberi mesej bahawa elemen kelestarian akan menjadi antara elemen penting dalam penganjuran program JKM KTHO selepas ini, sekaligus mencapai status KTHO sebagai Kolej Lestari di UTM.

Explore More