April 19, 2024

Search
Close this search box.

Kredit gambar oleh : Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pengerusi Sekolah Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Fatin Aliah Phang Binti Abdullah mencatat kenangan manis apabila memenangi Anugerah Tokoh Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2021 dalam kategori Saidatina Safiyyah – Saudara Baru dan Dakwah.

Anugerah beliau disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ),YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri di Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita 2021, anjuran Majlis Wanita Islam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAYA).

Ia bertujuan untuk melestarikan peranan wanita Islam dengan menelusuri suri teladan Ummahatul Mukminin yang terdidik melalui tarbiah langsung daripada contoh Rasulullah SAW.

Prof Fatin terpilih memenangi anugerah Saidatina Safiyyah atas kecemerlangan beliau menyumbang kepada masyarakat dalam menyebarkan syiar Islam dan menarik lebih ramai orang memeluk agama Islam, menjadi sukarelawan dan aktivis NGO dakwah serta dalam bidang pendidikan mualaf.

Sepanjang penglibatan beliau, Prof Fatin telah membangunkan Edu-Mualaf, sebuah program pendidikan mualaf secara dalam talian yang ditaja oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah Johor Innovation Valley (JIVe) dan turut membangunkan modul Keluarga Sejahtera untuk Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim khusus kepada bakal pasangan bukan Islam yang bakal berkahwin dalam usaha mengurangkan kadar perceraian.

Prof Fatin semasa dihubungi melahirkan rasa bersyukur kerana telah mengharumkan nama UTM dengaan memenangi anugerah ini.

“Insyaallah untuk tahun hadapan saya berhasrat untuk mengajak lebih ramai lagi rakan pensyarah di UTM untuk turut sama memohon.

Di UTM ramai lagi srikandi yang berkelayakan untuk menang dan saya harap kita akan sama-sama menaikkan lagi nama universiti di samping meneruskan usaha menyumbang kepada masyarakat,” kata beliau lagi.

Prof Dr Fatin (paling kanan) semasa menerima anugerah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ),YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri (tiga dari kanan) sempena Sambutan Hari Wanita 2021 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya.

Explore More