April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Feb.– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar kembali ke kampus secara fizikal menjelang 1 Mac ini atas dasar kepentingan dan keperluan akademik pelajar.

Kemasukan pelajar adalah bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.

Menurut KPT dalam sebuah kenyataan sebelum ini, enam kategori pelajar institusi pendidikan tinggi dibenarkan iaitu pelajar yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian dan pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Bagi kategori keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan keenam pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof Dr Shamsul bin Sahibuddin berkata, universiti amat menitikberatkan kesinambungan pengajian pelajar agar mereka dapat menjalani pengajian dalam suasana kondusif dan tidak menjejaskan kecemerlangan akademik mereka.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof Dr Shamsul bin Sahibuddin diberikan penerangan oleh Pengarah Pusat Kesihatan, Dr. Nor’Ashikin bt Sharif semasa sesi lawatan ke Pusat Isolasi

“Berdasarkan enam kategori yang digariskan oleh KPT tersebut, pihak universiti dengan segera mengenalpasti pelajar yang terlibat dan berkepentingan.

Oleh itu kira-kira 618 orang pelajar berstatus ‘Tidak Selesai’ telah dikenalpasti untuk kembali ke kampus bagi fasa pertama sebagai pelajar yang berkeperluan khas untuk menyelesaikan gred akademik yang tertangguh sebelum ini,”kata beliau.

Menurut beliau, pelajar ini akan melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.

“Pelajar ini dibenarkan masuk ke kampus setelah mendapat kebenaran merentas negeri dan setibanya di kampus, mereka akan diletakkan di Pusat Isolasi khas yang dipantau oleh Pusat Kesihatan Universiti selama 10 hari.

Pusat Isolasi di UTM kampus Johor Bahru

Segala kos penginapan isolasi 10 hari tersebut juga adalah ditanggung oleh pihak universiti.

Setelah itu, pelajar ini akan dibenarkan menggunakan makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas di kampus dengan mengikut jadual yang ketat yang telah disediakan oleh fakulti masing-masing,” tambah beliau.

“Di Pusat Isolasi tersebut, pelajar akan diberi pemerhatian penuh dari segi kesihatan terutamanya yang bergejala akan terus dibawa ke Pusat Kuarantin.

Selain itu kebajikan pelajar juga adalah diutamakan terutamanya dari segi kemudahan makanan dan prosedur keluar masuk pelajar juga adalah melalui prosedur yang ketat,” kata beliau.

Menurut beliau, mulai 1 Mac juga, kira-kira 3,000 orang pelajar prasiswazah dan pascasiswazah lagi akan dibenarkan kembali ke kampus di mana pendaftaran akan dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi UTMSmart.

UTM juga sedang bersedia untuk menyambut pelajar dari Sabah dan Sarawak yang berjumlah kira-kira 100 orang dan proses adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pelajar ini merupakan kategori yang berkeperluan khas iaitu mereka yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof Dr Shamsul bin Sahibuddin diberikan penerangan oleh Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan Universiti, Dr. Mohd Firdaus Akmal Bin Azman semasa sesi lawatan ke Pusat Isolasi

Pelajar ini akan menjalani sesi pembelajaran secara hibrid,” tambah beliau.


Selain pelajar tersebut, pihak pengurusan universiti juga telah bersetuju untuk membenarkan pelajar yang akan menjalani Latihan Industri (LI) dan Latihan Mengajar (LM) untuk menginap di dalam kampus.

“Walaupun pelajar ini tidak termasuk dalam kategori enam pelajar tersebut, atas dasar kebajikan UTM akan menyediakan blok khas di kampus dengan mengikut prosedur yg lebih ketat.

Perkara ini dilaksanakan memandangkan keperluan yang tinggi oleh pelajar dan universiti mengharapkan dengan pelaksanaan ini akan membantu meringankan beban dan kekangan pelajar,” akhiri beliau.

Explore More