April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM Anjur Program Kesihatan Mental Untuk Tangani Stres Sewaktu PKP 2.0

Dewasa ini, isu kesihatan mental banyak dibincangkan terutamanya dalam kalangan pelajar yang menghadapi pembelajaran secara dalam talian. Ini berikutan pelajar yang perlu belajar dan membuat tugasan di rumah masing-masing. Ada rumah yang tidak kondusif, tiada ruang belajar, tidak mempunyai data yang mencukupi, berkongsi peranti dengan adik beradik, serta terganggu dengan aktiviti keluarga dan adik beradik dirumah yang kecil merupakan antara cabaran belajar secara dalam talian sewaktu pandemik COVID-19 berlaku.

Selain itu, berdepan dengan komputer riba dalam tempoh yang lama juga antara cabaran yang dihadapi pelajar sewaktu kelas dalam talian berlangsung. Kesan daripadanya adalah kesihatan mental pelajar terjejas dan mengakibatkan segelintir pelajar mengalami kemurungan, keresahan dan stress.

Akibat daripada stress dan kemurungan yang berlarutan akan menyebabkan pelajar menjadi ‘burnout’ dan seterusnya mendorong pelajar mengambil tindakan di luar kawalan serta tanpa disedarilebih teruk lagi pelajar boleh mengambil tindakan

Oleh itu program ini diadakan bertujuan memberi kesedaran dan maklumat kepada masayarakat tentang isu kesihatan mental.

Golongan pelajar yang menghadapi pembelajaran secara dalam talian merupakan sasaran program ini kerana pembelajaran secara dalam talian telah berlangsung dari tahun lepas sekitar bulan Mac 2020.

Kempen ini diadakan secara maya menggunakan platform Instagram selama 2 minggu dari 1 hingga 17 Januari 2021 dimana kami telah memuat naik poster berkenaan program kami di profil instagram kami @love.your.mind_. Poster digunakan untuk menarik perhatian dan memberikan informasi tentang kesihatan mental.

Fokus poster yang dihebahkan ini terdiri dari tiga isu kesihatan mental iaitu kemurungan, gangguan pemakanan dan kecelaruan personaliti. Setiap poster merangkumi definisi, jenis, simptom, faktor dan cara.

Selain poster, satu ceramah oleh kaunselor dari Persatuan Kaunseling dan Psikologi MARA (PEKAMARA) Zon Timur, iaitu Puan Siti Roslina binti Mohammad Zain turut diadakan. Puan Roslina merupakan kaunselor cemerlang SMART MRSM Kota Kinabalu. Beliau telah berkerja sebagai seorang kaunselor sejak tahun 2001 dan merupakan calon PHD Universiti Malaysia Terengganu, UMT sebagai pelajar separuh masa menyiapkan modul dalam pengurusan emosi.

Program ini diadakan pada 15 Januari 2021 menggunakan platform Google Meet dan berlangsung selama 1 jam dari pukul 3 hingga 4 petang. Program ini mendapat sambutan yang hangat apabila seramai 89 orang telah menyertai ceramah tersebut.

Antara 3 poster yang dihebahkan melalui platform Instagram

Antara isi utama ceramah ialah 11 kepercayaan tidak rasional yang menyebabkan seseorang boleh stress iaitu kita perlu disayangi atau disukai oleh semua.

Tanggapan ini adalah tidak benar kerana tidak semua orang akan menyukai diri kita. Malah, perkara yang paling penting adalah kita mesti menyayangi dan mengharagi diri sendiri. Selain itu, satu ujian iaitu DASS 21 juga telah dijalankan supaya peserta terlibat secara aktif dalam ceramah tersebut. Ujian DASS 21 menguji tahap kemurungan, keresahan dan stress seseorang. Ujian ini memberikan persepsi tahap kesihatan mental seseorang.

Tips-tips untuk mengurus emosi juga turut dibincangkan dalam ceramah ini. Menurut pengarah program, iaitu Mek Zhi Qing, kehadiran peserta ke ceramah kesihatan mental yang dianjurkan luar biasa kerana melebihi jangkaan iaitu 30 orang sahaja.

Selain pelajar UTM, terdapat juga peserta luar yang hadir iaitu Anis Salwani Binti Mohd Asri dan Nurul Nadia Binti Mohamad dari Kelantan, Arreeniah A/P Ulagamuthu, Ng Yi Lynn dan Malveika Asogan dari Selangor serta Timothy Lawrence, Ian Scott Lucas dan Nur Diyana Ali dari Sabah.

Slaid pembentangan penceramah ketika sesi ceramah

Sesi bergambar para peserta bersama penceramah, penasihat program dan para organisasi

Kemuncak Program Kempen Kesedaran Kesihatan Mental diakhiri dengan sebuah kuiz. Kuiz ini dibuat berdasarkan poster dan ceramah yang dijalankan sepanjang kempen berlangsung. Kuiz kesihatan mental telah diadakan pada 16 Januari 2021 dari pukul 12pm hingga 4pm. Sebanyak 30 penyertaan diterima dan 3 pemenang dipilih iaitu Wong Jun Jie, Indira A/P Thangaraj dan Chngh Zi Wei. Para pemenang menerina hadiah wang tunai sebanyak RM 20, RM 15 dan RM 10.

Program ini telah memberi pelbagai manfaat kepada peserta serta ahli jawatankuasa yang menjalankan program ini. Pertama sekali, peningkatan kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang isu kesihatan mental serta pendekatan yang betul terhadap isu ini telah dipelajari dari program.

Di samping itu, program ini telah berjaya menyokong Dasar Kesihatan Mental Negara untuk mencapai visi melahirkan suatu masyarakat yang seimbang dan sihat dari segi psikologi, memberikan penekanan terhadap promosi kesihatan mental dan pencegahan masalah-masalah psikososial dan juga berjaya mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ketiga, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur menjelang 2030.

Selain itu, pelajar UTM yang merupakan ahli jawatankuasa program juga mendapat manfaat membina kemahiran atribut kejayaan graduan abad ke-21 yang dihasratkan oleh UTM dalam kursus Atribut Kejayaan Graduan. Antaranya, kemahiran berfikir, berkomunikasi secara dalam talian, kepimpinan, kemahiran menyesuaikan diri seperti manjalankan aktiviti secara maya, kemahiran warga global dan akhir sekali kemahiran berdaya usaha bagi mencapai matlamat program.

Program Kempen Kesedaran Kesihatan Mental telah berjaya dilakukan dalam masa yang singkat walupun pelbagai cabaran dihadapi.

Ahli jawatankuasa Program Kesedaran Kesihatan Mental “Love Your Mind”

Akhir sekali, ahli jawatan kuasa program ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang telah menjayakan program Kempen Kesihatan Mental ketika ia berlangsung dan juga ucapan terima kasih kepada penasihat program iaitu Puan Marlina Ali kerana telah bertungkus lumus menyemak proposal serta memberikan nasihat yang bernas bagi memastikan program ini berjaya dilaksanakan.

Ditulis: Indradevi A/P Vikneshwaran dan Puan Marlina Ali

Explore More