April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar UTM anjur kempen selamatkan bumi dari Krisis Iklim

Sebuah program berkonsep webinar telah dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang krisis iklim yang berlaku di Malaysia dan menyediakan satu platform untuk mahasiswa meneroka lebih lanjut tentang krisis iklim melalui kempen yang dijalankan.

Selain itu, serentak dengan program tersebut, sebuah kutipan amal juga telah dijalankan untuk menyokong pertubuhan NGO yang terbabit dalam meningkatkan kesedaran iklim iaitu Persatuan Klima Action Malaysia (KAMY). ‘

Program ini telah dijalankan oleh pelajar dari kursus Atribut Kejayaan Graduan (UHMT) seksyen 44, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dikenali sebagai “UTM YAC: Youth Against Climate Crisis”. Ia diketuai oleh pengarah program iaitu Heong Yi Qing dan berkolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ‘Klima Action Malaysia’ (KAMY).

Kempen kesedaran Krisis Iklim ini telah dijalankan dari 7 Disember 2020. Disebabkan oleh pandemik Covid-19, semua aktiviti program ini dijalankan secara dalam talian.

Program ini dimulakan dengan hebahan poster dan maklumat tentang krisis iklim yang berlaku di Malaysia melalui medium sosial media seperti Instagram, Twitter, Facebook, WhatsApp dan juga Telegram.

Ianya diikuti dengan pelancaran tabung dana untuk sumbangan kepada persatuan KAMY dan kemuncak program ini ialah penganjuran forum krisis iklim bertajuk “Not Gonna Lie, Earth is Dying” oleh 2 panel iaitu Cik Aroe Ajoeni dan Cik Amna Batrisha.

Cik Aroe Ajoeni merupakan aktivitis yang sering memperjuangkan kempen selamatkan bumi dari KAMY, manakala Cik Amna Batrisha merupakan influencer terkenal juga merupakan pelajar sarjana muda Sekolah Komputeran Universiti Teknologi Malaysia.

Cik Amna Batrisha banyak menulis status serta pos berkaitan isu krisis iklim yang berlaku di Malaysia mahupun luar negara.

Forum ini telah diadakan pada 16 Januari 2021, menggunakan medium Facebook Live. Forum secara dalam talian ini telah berjaya mendapat sokongan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dan juga mahasiswa.

Dalam forum tersebut, pelbagai isu krisis iklim yang semakin membimbangkan pada masa kini telah dibincangkan. Menurut Cik Aroe, krisis iklim ini berlaku disebabkan oleh sifat tamak manusia menebang hutan. Hal ini demikian kerana hutan berfungsi sebagai ‘span’ dan juga tempat untuk menyimpan air. Sekiranya hutan diteroka, air hujan yang berlebihan turut kehilangan tempat simpannya dan seterusnya banjir pun berlaku.

Sememangnya, topik perubahan iklim bukan lagi topik yang baharu di Malaysia. Kesan perubahan iklim memang boleh dirasai dalam bentuk gelombang panas dan juga bencana banjir yang kini berlaku. Dalam konteks ini, semua orang haruslah menganggap krisis iklim ini sebagai isu yang amat serius dan mengambil inisiatif untuk menentang isu tersebut.

Poster Forum
Poster Program

Sebanyak RM 500 berjaya dikutip dalam kempen tersebut. Sumbangan telah diserahkan kepada akaun KAMY sebagai penutup kepada program.

Transaksi wang kutipan amal yang dibuat ke Akaun Bank KAMY
Tangkapan Skrin Ahli jawatankuasa projek Youth Against Climate Change Bersama dengan Panel forum dan Penasihat Program

Pihak ahli jawatankuasa ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini terutama kepada penasihat program Pn Marlina Ali yang banyak memberikan panduan dan galakan sehingga program ini berjaya dilaksanakan. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada penderma yang telah memberikasumbangan dalam program ini.

Melalui program ini pelajar UTM dapat menyemai sikap bekerjasama dan bersatupadu bagi menjayakan program ini. Program ini juga dapat menerapkan kesedaran tentang betapa pentingnya krisis iklim yang sedang melanda negara kita ini terhadap masyarakat dalam kalangan mahasiswa.

Ia juga dapat membantu meningkatkan kemahiran abad ke-21 pelajar seperti seperti kemahiran komunikasi, kemahiran bekerjasama, kemahiran berfikir, kepimpinan dan kemahiran warga global seperti sikap prihatin dan beretika dalam hubungan dengan masyarakat

Program ini juga menyokong Matlamat Pendidikan Lestari (SDG) untuk menjadi sebuah negara lestari 2030.

Disediakan oleh Nurfatin Iwanina binti Mohd Abdul Rashid dan Chong Kah Wei

Explore More