April 19, 2024

Search
Close this search box.

FSSH Adjunct Professor Lecture Series (5) – Kecemerlangan Guru Sebagai Pemangkin Kualiti Pendidikan

Pendidikan merupakan pintu peradaban dunia. Pintu tersebut tidak akan terbuka kecuali dengan satu kunci iaitu guru. Orang yang hebat mampu melahirkan beberapa karya bermutu, tetapi guru yang bermutu dapat melahirkan ribuan orang-orang yang hebat.

YBHG Datuk Dr Habibah Abdul Rahim selaku Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi wawancara atas talian FSSH Adjunct Professor Lecture Series Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 24 Disember 2020 yang lepas menyifatkan demi melangkah kehadapan dan memacu hala tuju negara dalam bidang pendidikan,  beberapa perkara perlu diberikan perhatian dan salah satu bidang tumpuan adalah untuk mengukuhkan dan meningkatkan kualiti guru.

Ini kerana kualiti guru merupakan antara aspek terpenting bagi memacu transformasi pendidikan kebangsaan. Bagi mencapai hasrat ini, kualiti guru perlu sentiasa diperbaiki selaras dengan keperluan semasa.

Dalam keadaan dunia dan negara masih berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, sektor pendidikan turut terkesan kerana semua institusi pendidikan terpaksa ditutup. Rata-ratanya kelompok pendidik dilihat telah mengambil pendekatan yang berbeza dan ada diantaranya terpaksa membiasakan diri kepada Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR). PdPR atau home based learning yang sebelum ini tidak banyak diberi perhatian secara tiba-tiba menjadi satu pendekatan yang paling sesuai untuk memastikan murid-murid kekal mendapat akses kepada pendidikan.

Intipati dari ungkapan yang disampaikan oleh Datuk Habibah yang juga merupakan Prof Ajung Sekolah Pendidikan UTM, jelas menggambarkan PdPR telah menjadi kaedah yang penting dalam memastikan murid terus menerima pendidikan semasa sekolah dan lain-lain institusi pendidikan ditutup. Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara normal baharu, penekanan kepada teknologi perlu ditingkatkan. Namun usaha berterusan dan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengupayakan pembelajaran menerusi teknologi secara menyeluruh dapat dicapai. Corak perubahan ini seiring dengan revolusi IR 4.0 yang kini diterajui oleh semua pihak tidak terkecuali bidang pendidikan kita sendiri.

“Bersama-sama melangkah lebih jauh” – Datuk Dr Habibah Abdul Rahim

Slogan “Bersama-sama melangkah lebih jauh” menjadi garis panduan untuk para pendidik fokus dalam perlaksanaan gerak kerja dimana sasaran utama atau bidang tumpuan yang telah digariskan adalah penyertaan murid, pembelajaran murid, kualiti guru dan pemimpin sekolah serta pentaksiran.

Oleh itu, kualiti guru merupakan antara aspek terpenting bagi memacu tranformasi pendidikan kebangsaan kerana kualiti sesuatu sistem pendidikan tidak boleh melangkaui kualiti gurunya. Menerusi lanskap demografi guru di Malaysia yang mempunyai Ijazah pertama, kini ianya telah mencapai 87% bagi guru di sekolah rendah manakala di peringkat sekolah menengah pula telah mencapai 98%. Perkembangan ini jelas menunjukkan kualiti guru semakin cemerlang dalam pendidikan dari masa ke semasa.

Sejajar dengan itu, KPM telah menetapkan beberapa kriteria asas dalam pemilihan guru cemerlang. Guru perlulah berpengetahuan dan berkemahiran dalam menguasai dan menghayati isi kandungan serta mampu untuk menjadi pakar rujuk PdP. Selain itu, guru seharusnya berupaya meningkatkan hasil pembelajaran kearah membangunkan potensi murid. Begitu juga berupaya untuk menyumbang kepada pendidikan negara dengan menjana idea baru dalam bidang pengkhususan masing-masing.

Dalam pada itu, keperibadian yang tinggi dengan mempunyai sahsiah yang terpuji seharusnya ada pada setiap guru untuk menjadi cerminan kepada generasi yang diterajui. Pada waktu yang sama, para pendidik seharusnya cemerlang dalam berkomunikasi dan berpotensi serta bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.

Namun begitu, statistik yang diperolehi menunjukkan bilangan guru cemerlang di Malaysia masih kecil dan tidak dapat memenuhi kuota yang ditetapkan. Maka, peranan guru cemerlang amat penting sebagai role model yang dapat menarik minat guru lain untuk memohon dan meneruskan legasi kecemerlangan dalam pendidikan.  

Bersangkutan dengan isu kecemerlangan ini, kajian menunjukkan bahawa guru yang cemerlang mempunyai perbezaan yang signifikan dengan guru biasa yang berpengalaman. Terdapat beberapa dimensi perbezaan yang dikesan seperti dalam kaedah menyelesaikan masalah, pembuat keputusan yang lebih baik, semangat dan sebagainya. Kejayaan guru cemerlang dalam mengaplikasikan pengetahuan dengan pendekatan yang baharu dilihat dapat menarik perhatian murid.

Dalam konteks kesediaan pula, guru cemerlang menunjukkan persediaan yang rapi sebelum PdP bermula. Mereka juga dilihat amat fleksibel dalam menukar bentuk penyampaian di dalam bilik darjah bergantung kepada keadaan semasa. Ini menunjukkan guru cemerlang berkualiti dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran.

Seterusnya, guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran yang diajar. Penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang yang lain seperti pengubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan-bahan ilmiah.

Dalam pada itu, guru cemerlang atau yang berpretasi tinggi dikatakan mampu dalam mempengaruhi keberhasilan murid. Pembelajaran murid diutamakan khususnya dalam meningkatkan penguasaan murid dan sejajar dengan kesungguhan untuk memastikan sasaran tercapai.

Di samping itu, menjadi mentor dan fasilitator kepada rakan sebaya juga merupakan ciri-ciri yang ada pada guru cemerlang. Dimensi pemikiran mereka yang cemerlang sentiasa melihat pengetahuan yang dimiliki perlu dikongsi dengan rakan sebaya serta guru berlainan sekolah.

Cabaran untuk melangkah kehadapan dalam perspektif cemerlang ini seharusnya menjadi tanggungjawab pelbagai pihak seperti PPD, JPN, KPM dan pihak sekolah itu sendiri dalam merangka program yang berwawasan. Tanggungjawab bersama ini mampu menjamin dan menyokong kualiti serta kecemerlangan guru. Tuntasnya, pengajaran guru yang jelas mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian murid.

Mutakhir ini, dalam era IR 4.0 pendidikan berteraskan teknologi dan digital dikatakan dapat menyokong PdP jika dilaksanakan dengan efisien. Walaubagaimanapun, setiap perancangan dan matlamat pasti ada cabaran. Natijahnya, sebagai pemangkin kualiti pendidikan, guru semestinya berani untuk meluaskan ufuk pemikiran, lebih intelektual dan berketerampilan relevan dengan kehendak zaman.

Menjadi guru yang cemerlang bukanlah satu cita-cita atau hasrat namun ia merupakan satu kemestian bagi menjamin kualiti pendidikan dipacu ke hadapan.

“Kejayaan adalah seperti seekor rama-rama. Sangat susah untuk menangkapnya, anda perlu menarik perhatiannya.”  

Penulis: Dr Adjah Naqkiah Mazlan dan Prof Dr Fatin Aliah Phang, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

Explore More