April 20, 2024

Search
Close this search box.

Amanat Sulung NC Ke-7 Sentuh Hati ‘Citizen of UTM’

JOHOR BAHRU, 21 Jan. — Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi bin Ismail menyentuh perasaan majoriti warga UTM melalui amanat sulung beliau sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketujuh dalam Majlis Amanat Naib Canselor UTM 2021, hari ini.

Beliau yang berkongsi bait terjemahan ucapan pertama Saidina Abu Bakar sewaktu dilantik sebagai Khalifah Islam yang antaranya membawa maksud:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku.
Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.

Dan orang yang lemah di kalangan kamu semua adalah kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah,”

(Rujuk Sirah Ibn Hisyam, 4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar Ibn Qutaibah, 2/234)

Beliau yang berkongsi terjemahan ini dengan suara tersekat telah meruntun hati majoriti warga universiti yang mesra disapa beliau dengan panggilan ‘Citizen of UTM’, seolah-olah ingin menyatakan beratnya tanggungjawab beliau dalam menggalas tugas sebagai ketua pentadbir UTM, namun masih mengekalkan rendah diri.

Rata-rata warga UTM meluahkan perasaan terharu malah teruja dan bersemangat dengan ucapan yang begitu bermakna apabila menyentuh betapa besar tanggungjawab dan peranan yang perlu digalas oleh beliau serta warga UTM demi kelangsungan universiti.

Antara posting Facebook ‘citizen of UTM’ yang berkongsi perasaan melalui laman sosial media masing-masing

Dalam ucapan beliau, Datuk Fauzi mengajak warga kampus mengimbau dan menghayati nostalgia sejarah penubuhan UTM sejak 1946 sehingga dianugerahkan status Universiti Penyelidikan pada Tahun 2010.

Menurut beliau, status Universiti Penyelidikan adalah merupakan amanah kerana status tersebut diperoleh dengan susah payah, oleh itu menjadi tanggungjawab warga UTM untuk mempertahankan status ini.

Naib Canselor turut menyeru ‘Citizen of UTM’ untuk sama-sama menyokong aspirasi universiti dan memainkan peranan masing-masing seperti yang telah diamanahkan agar UTM mampu melakar lebih banyak lagi kejayaaan-kejayaan pada masa akan datang.

Datuk Fauzi hari ini menyampaikan amanat sulung beliau sebagai Naib Canselor ketujuh secara dalam talian yang dipancarkan secara langsung melalui Facebook UTM Community.

Lintas langsung tersebut meraih lebih 2,000 tontonan serta mendapat komen dari kira-kira 1,700 penonton.

Warga UTM amat berterima kasih atas ucapan yang penuh bermakna daripada beliau.

Kami ambil maklum akan amanat Datuk, dan bersama-samalah kita lebih maju dan berjuang lebih gigih untuk kejayaan UTM.

Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Explore More