April 25, 2024

Search
Close this search box.

Tahun 2020 membawa sebuah lembaran baharu kepada penyelidik/pensyarah bidang Ekonomi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan.

Ini kerana mereka telah dijemput dan dilantik khas untuk menjadi penulis Belanjawan Johor 2021 dan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Pensyarah kanan Azman Hashim International Business School yang merupakan ahli pasukan penulis Belanjawan Johor 2021, Dr Mohd Effandi Bin Hj Yusoff berkata, anggota pasukan terdiri daripada pensyarah UTM dari pelbagai cabang bidang dan kepakaran.

Dr Mohd Effandi Bin Hj Yusoff

Pensyarah UTM yang terlibat dalam penulisan Belanjawan Johor 2021 ialah Dr Muhammad Iqbal Tariq bin Idris, PM Dr Ahmad Bin Jusoh, Dr Mohamad Abdillah Bin Royo, PM Dr Mohd Noor Azli bin Ali Khan, PM Dr Mohd Azhar bin Abd Hamid, Dr Mohamad Hafis Izran bin Ishak, Dr Mohammad Saipol bin Mohd Sukor dan En Kamaruzzaman bin Abdul Rahim.

Menurut Dr Effandi, pasukan UTM dipertanggungjawabkan untuk berhubung dan berbincang dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor bersama agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membuat saringan belanjawan yang dikemukakan. “Kumpulan kami juga diperlukan untuk memberi pandangan tentang projek-projek yang akan di jalankan oleh agensi kerajaan.

Maklumat yang diperolehi akan di bincangkan bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) dan akhirnya akan di zahirkan dalam bentuk penulisan teks,” kata beliau.

“Bagi saya, tahun ini merupakan tahun ketiga saya dilantik oleh pihak BPENJ dalam membantu menyediakan teks ucapan Belanjawan Johor.

Pengalaman yang saya terima sememangnya tidak ternilai kerana bukan sahaja saya dan pasukan saya terlibat secara langsung dalam penyediaan belanjawan ini, malah di panggil untuk memberikan pandangan berdasarkan kepada bidang kepakaran masing-masing.

Ini merupakan satu pengiktirafan oleh kerajaan negeri tentang bidang kepakaran yang kita ada,” kata beliau.

Tambah beliau, perasaan dapat mencurahkan sedikit jasa kepada Negeri Johor memberi kesan dan kepuasan yang mendalam di kalangan kami. Walau pun kami bekerja sehingga larut malam, pengalaman ini amat sukar untuk kami lupakan.

Selain Belanjawan Johor 2021, Penyelidik UTM turut terlibat sebagai penulis Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 merupakan dokumen rujukan induk bagi tujuan perancangan dan pembangunan negeri ini untuk tempoh 10 tahun akan datang dan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad (kiri)

Menurut Datuk Hasni berkata, PPMJ 2030 merupakan satu misi penting kerana pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar negeri ini akan dipacu berlandaskan lapan teras utama antaranya pemerkasaan ekonomi, memperkasa pelaburan dan ekonomi digital, penyediaan jaringan sistem pengangkutan mega.

Selain itu, kelestarian alam sekitar, tadbir urus cekap, berintegriti dan dinamik, kesejahteraan sosial, memperkasa sistem pendidikan Islam, pembangunan modal insan dan warisan budaya dan pesona wanita dan aspirasi idealis anak muda.

Katanya, pelan itu bertujuan untuk memelihara jati diri rakyat Johor supaya dapat terus diteruskan dipertahankan meskipun berdepan cabaran pembangunan pesat di samping dibangunkan secara konstruktif, insklusif dan bersepadu.

Penyelidik/pensyarah yang terlibat dalam penerbitan buku PPMJ 2030 ialah Dr Mohd Effandi Bin Hj Yusoff, Noerwati Binti Dolhaji, Ahmad Sharifuddin bin Shamsuddin, Dr Halimah Binti Mohd Yusof, Dr Salwa Binti Abdul Patah, Dr Azlineer binti Sarip, Dr Mohamad Abdillah bin Royo, Prof Dr Kassim Thukiman, Dr Muhammed Fauzi Othman, Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid, Dr Ismail Mohamad, Dr Mohd Nasir Markom, Dr Mohd. Koharuddin Balwi, Dr Mazilah Abdullah, Mohd Kamal Bin Hj.Yusoff, Prof Madya Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Bin Muhammad Hussein, Prof. Madya Dr. Ahmad Jusoh, Dr. Mohd Hafiz Puteh, Ir. Dr. Mohamad Hidayat Jamal, Prof. Dr. Zuhaimy Ismail, Kamaruzzaman Abdul Rahim, Prof . Dr Ajmain @ Jimaain Safar, Prof Madya Dr Roslli Noor Mohamed, Prof Madya Dr Aslan Amat Senin UTM Dr Dewi Fariha Abdullah

Menurut Dr Mohd Effandi juga, pasukan penulis dipertanggungjawabkan untuk menyediakan satu pelan pembangunan mampan yang merangkumi segala aspek pembangunan dalam Negeri Johor.

pasukan penulis semasa sesi perbincangan pada tahun 2019

“Sebagai perunding, kami telah diberi tanggungjawab untuk memberi cadangan pembangunan yang diperlukan berdasarkan kepada sesi dialog dan bengkel yang dijalankan, yang melibatkan seluruh agensi dalam Negeri Johor.

Hasil dari perbincangan ini, kumpulan kami dapat mengenalpasti beberapa agenda-agenda penting yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan negeri,” kata beliau.

Menurut beliau lagi setiap ahli dibahagikan kepada 8 teras masing-masing berdasarkan bidang kepakaran mereka. Setiap teras ini merupakan polisi atau dasar yang akan di aturgerakkan oleh kerajaan negeri dalam mencapai visi pelan pembangunan ini.

“Sebagai ketua projek, saya telah di beri kesempatan untuk menghadiri beberapa mesyuarat penting kerajaan negeri seperti mesyuarat pertama Ibrahim Johor Economic Council atau IJEC yang merupakan salah satu daripada 7 ikhtiar Makmur Johor.

Malahan saya dikehendaki untuk membuat pembentangan tentang pelan ini kepada ahli mesyuarat,”kata beliau.

Dr Mohd Effandi menambah, perasaan ketika dipanggil untuk menyediakan PPMJ2030 agak merunsingkan, memandangkan kerja yang akan dihasilkan adalah berkait rapat dengan kesejahteraan rayat Johor khususnya dan kepada Negeri Johor secara amnya.

“Apa yang akan kami sediakan adalah dasar yang akan digunapakai oleh semua pihak dalam memastikan pembangunan yang mampan di Negeri Johor. Segala rancangan dan agenda perlu menitikberatkan dan tertumpu kepada rakyat.

Tanggungjawab ini amat berat sekali. Namun berkat istiqamah dan semangat pasukan, kerja kami dapat berjalan secara lancar,”ujar beliau.

Menyifatkan pengalaman tersebut merupakan sebuah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan, Dr Effandi turut berkongsi pengalaman berurusan dengan YAB Menteri Besar Johor berserta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor memberikan pasukan sebuah perspektif yang baharu dalam cara penyampaian dan berkomunikasi bersama dengan mereka.

“Malahan kami juga berpeluang untuk memberikan pandangan tentang pembangunan yang akan dijalankan di bawah portfolio masing-masing,” akhiri beliau

Explore More