April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukuhkan penjenamaan di mata dunia, apabila diumumkan berada di kedudukan ke-39 dalam kalangan universiti terbaik Asia oleh Quacquarelly Symonds (QS) University Rankings 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor UTM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, bagi edisi 2021, UTM mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh anak tangga berbanding kedudukan 46 pada tahun sebelumnya.

UTM menerima skor terbaik dalam indikator International Research Network yang mengukur ‘ degree of international openness in terms of research collaboration’.

Katanya, pencapaian UTM dalam QS University Rankings 2021: Asia itu adalah yang terbaik sehingga kini, sejak UTM mula menerima penarafan QS pada 2012.

Kenaikan ini mengambil kira pelbagai faktor seperti program akademik yang ditawarkan, jumlah enrolmen mahasiswa, jaringan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan juga kerjasama dengan pihak industri.

Oleh itu kejayaan ini menunjukkan UTM kekal relevan dan berdaya saing untuk terus mencapai kecemerlangan sungguhpun berada dalam situasi mencabar iaitu pandemik Covid-19.

Selain kecemerlangan dari segi akademik, UTM turut menitikberatkan kecemerlangan dan kebajikan pelajar.

Ini dizahirkan melalui sumbangan pelan data internet untuk memastikan pelajar mendapat akses yang terbaik untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, sumbangan melalui inisiatif ‘Because We Care’ dan sebagainya.

Datuk Fauzi turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua staf dan mahasiswa UTM serta komuniti dan pemegang taruh atas semangat serta sumbangan dan komitmen yang diberikan yang membawa kepada kejayaan ini.

Beliau menambah, UTM juga secara berterusan akan memastikan ekosistem akademia dan penyelidikan serta sistem penyampaian di peringkat Universiti sentiasa mantap dan diperkemaskan bagi memastikan UTM terus kekal relevan sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan kepada masyarakat, negara dan dunia.

Menurut Datuk Fauzi lagi, universiti perlu sentiasa bergerak aktif dan berinovatif dalam memastikan pengiktirafan yang diberi adalah relevan.

“Pentingnya untuk sesebuah universiti melahirkan produk penyelidikan yang memberi perubahan dan dari situ dapat memberi impak serta kesan kepada kehidupan manusia.

Malah kemahiran, kecekapan dan kebolehpasaran graduan juga perlu dititikberatkan,” kata beliau.

 

Explore More