April 18, 2024

Search
Close this search box.

Sebagai inisiatif menambah baik kaedah pencegahan dan kawalan denggi di Jalan PI 9, Taman Pulai Indah, Johor, pada 14 November 2020 yang lalu sekumpulan staf akademik dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Kejuruteraan UTM telah membuat edaran bahan-bahan aktiviti kepada penduduk yang berminat untuk melibatkan diri sebagai peserta.

Terdapat tiga aktiviti yang ditawarkan iaitu penanaman berfasa, penghasilan lilin beraroma daripada minyak aroma terpilih dan pembasmian jentik-jentik.

Aktiviti-aktiviti ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang dirangka bagi meningkatkan kesedaran penduduk tentang denggi serta pada masa yang sama mengambil langkah pencegahan dan kawalan denggi.

Selain itu aktiviti-aktiviti ini juga dijalankan agar pemindahan ilmu kepada masyarakat dapat dilaksanakan. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada Projek Menambah Baik Kaedah Pencegahan dan Kawalan Denggi di Kangkar Pulai, Johor yang menerima suntikan dana daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM.

Seawal jam 9.30 pagi, staf yang terlibat dalam projek ini telah memulakan edaran bahan-bahan aktiviti dari rumah ke rumah.

Edaran bahan-bahan aktiviti ini telah mengambil kira serta mengikut ‘standard operating procedure (SOP)’ yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. Bahan-bahan aktiviti ini diedarkan kepada 17 buah rumah dengan melibatkan seramai 36 orang peserta.

Peserta yang terlibat dengan aktiviti penanaman didedahkan dengan cara-cara menyemai biji benih, menggunakan botol plastik sebagai pasu, pemindahan anak pokok ke dalam pasu, penggunaan baja serta penjagaan bongkah cendawan.

Bagi aktiviti penghasilan lilin beraroma, peserta diberikan bahan-bahan bagi menghasilkan sendiri lilin beraroma dari rumah.

Turut diberikan adalah pati minyak yang boleh menghalau nyamuk secara alternatif yang boleh ditambah ketika menghasilkan lilin beraroma.

Aktiviti pembasmian jentik-jentik pula memfokuskan kepada tindakan peserta dalam membasmi jentik-jentik menerusi penghasilan perangkap jentik-jentik serta penggunaan ubat jentik-jentik dengan sukatan yang betul.

Edaran bahan-bahan aktiviti ini berakhir pada jam 11 pagi.

Para peserta memberikan maklum balas positif atas usaha UTM membantu penduduk dalam menambah baik kaedah pencegahan dan kawalan denggi di kawasan mereka serta mendedahkan mereka dengan aktiviti yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini.

Dengan penganjuran ini, diharap semoga peserta mendapat banyak manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Explore More