April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar Universiti Teknologi Malasia (UTM) mengagihkan sumbangan bernilai lebih RM3,000 bagi membantu 32 anak yatim dan asnaf dari Baitul Maghfirah yang terletak di Bandar Baru Uda, Johor Bahru melalui projek Kembara STEM anjuran kursus Atribut Kejayaan Graduan (UHMT 1012) seksyen 46.

Program ini telah dijalankan pada 7 Disember 2019.

Rajah 1: Fasilitator memberi tunjuk ajar kepada pelajar untuk menyusun ‘Human Puzzle’

Terdapat pelbagai pengisian aktiviti program yang menarik untuk memupuk minat berkaitan STEM dalam kalangan penghuni Baitul Maghfirah.

Antara program yang dijalankan adalah seperti ice-cream stick, puzzle, mystery box action, aktiviti mewarna, membuat barang perhiasan, dan membuat sandwich.

Mahasiswa  UTM berpeluang menyantuni dan beramah mesra dengan semua anak-anak Baitul Maghfirah sepanjang setengah hari program berlangsung.

Rajah 3 : Sesi penyerahan Mock Cheque oleh pensyarah Pn Marlina Ali kepada penyelia Rumah Anak-Anak Yatim Baitul Magfirah

Pensyarah dan pengarah program, Afiqah binti Faizul menyerahkan sumbangan berbentuk wang, hamper, barang-barang keperluan harian serta pakaian untuk kanak-kanak yang berada disitu berusia dari dua tahun sehingga 17 tahun.

Pengurus penghuni Baitul Maghfirah Pn Rasyidah mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha murni yang dilakukan oleh pelajar-pelajar UTM. Menurut Pn Rasyidah, beliau membelanjakan hampir RM10,000 untuk makan dan keperluan penghuni Baitul Maghfirah sebulan dan berharap orang ramai agar dapat menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada penghuni-penghuni di Baitul Maghfirah.

Untuk makluman, Baitul Maghfirah telah beroperasi sejak tahun 2012 dan sehingga kini mereka masih menyewa rumah bagi menempatkan penghuninya. Pada waktu persekolahan, sebahagian penghuni di Baitul Maghfirah bersekolah di Maahad Tahfiz Al Quran Ummu Anisah, Muar untuk mengikuti pengajian Tahfiz di sana. Sekolah tahfiz ini dipilih kerana tahfiz ini menerima pelajar tanpa sebarang yuran. Apabila cuti sekolah, murid akan kembali ke Baitul Maghfirah.

Rajah 4: Fasilitator membantu penghuni membuat rantai dan gelang permainan

Rajah 5: Fasilitator memberi tunjuk ajar kepada penghuni yang berumur 4 tahun untuk aktiviti mewarna ice cream stick

Program ini turut memberi manfaat kepada pelajar UTM yang mengambil bahagian sebagai sukarelawan dalam memacu kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir, kemahiran bekerjasama, memupuk kepimpinan, di samping membentuk kemahiran warga global seperti sikap prihatin dan beretika ketika berinteraksi bersama komuniti. Kemahiran-kemahiran ini juga adalah selaras dengan objektif yang perlu dicapai dalam subjek Atribut Kejayaan Graduan memandangkan subjek ini merupakan subjek utama yang wajib diambil oleh semua pelajar prasiswazah tahun satu di UTM.

Rumah ini bertujuan memberi perlindungan, pembelajaran yang baik, sahsiah yang tinggi, kasih sayang yang mencukupi dan pendekatan rohani yang terbaik kepada anak-anak yang hilang tempat pergantungan ini. Bagi merealisasikan hasrat murini ini, kepada sesiapa yang berniat untuk memberi sebarang sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Baitul Maghfirah Selatan : 551342106795 (Maybank).

Explore More